Ahad, 2 Ogos 2020 | 11:01am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pencemaran udara 'risiko terbesar' jangka hayat global

PARIS: Pencemaran udara didapati memendekkan jangka hayat penghuni bumi sebanyak dua tahun, lapor data yang dikeluarkan Selasa lalu, sekali gus membuktikan bahawa kualiti buruk udara memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Menurut Indeks Kualiti Hidup Udara (AQLI), ketika dunia berlumba mencari vaksin bagi mengawal pandemik COVID-19, pencemaran udara akan terus memendekkan jangka hayat berbilion penduduk.

Indeks itu mengukur kesan pencemaran udara, kebanyakannya akibat pembakaran fosil minyak kepada kesan ke atas kesihatan manusia.

Menurut indeks itu, walaupun pengurangan didapati berlaku terhadap kadar pencemaran di China, satu ketika dahulu negara paling tercemar di dunia, tahap keseluruhan pencemaran udara kekal stabil sejak dua dekad lalu.

Di negara seperti India dan Bangladesh, pencemaran berlaku dengan amat buruk, sehingga jangka hayat penduduk di sesetengah lokasi berkurangan sebanyak hampir 10 tahun.

Barisan pengarang penyelidikan itu juga berkata, kualiti udara yang disedut kebanyakan manusia mencetuskan risiko lebih tinggi berbanding ancaman COVID-19.

"Walaupun ancaman COVID-19 amat berbahaya dan memerlukan perhatian serius semua pihak, tindakan yang sama ke atas isu pencemaran udara akan membolehkan berbilion manusia menikmati jangka hayat yang lebih panjang dan sihat," kata Michael Greenstone, pencipta AQLI.

Hampir satu perempat daripada populasi penduduk global terdapat di empat negara paling tercemar di Asia iaitu Bangladesh, India, Nepal dan Pakistan.

AQLI mendapati, jangka hayat kesemua penduduk di empat negara itu secara purata akan berkurangan sebanyak lima tahun, selepas terdedah pencemaran, 44 peratus lebih tinggi berbanding 20 tahun lalu.

Kajiannya juga mendapati, pencemaran turut muncul sebagai masalah yang signifikan di seluruh Asia tenggara, susulan kebakaran hutan dan tanaman, selain kesesakan jalan raya, sehingga menyebabkan udara dipenuhi bahan toksik.

Kira-kira 89 peratus daripada 650 juta penduduk di rantau itu pula berada di kawasan yang tahap pencemaran udaranya melebihi garis panduan disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun berhasil meningkatkan kualiti udara, pencemaran masih memendekkan jangka hayat penduduk sebanyak dua tahun di seluruh dunia, kata AQLI lagi.

Bangladesh dikesan memiliki kualiti udara terburuk, manakala sekitar 250 juta penduduk di bahagian utara India akan kehilangan lapan tahun jangka hayat mereka, melainkan jika pencemaran berjaya dikawal.

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa pendedahan terhadap pencemaran udara adalah kunci utama terhadap risiko COVID-19, dan Greenstone menggesa kerajaan untuk memberi keutamaan terhadap kualiti udara selepas pandemik itu.

"Tiada jalan mudah untuk mengatasi masalah pencemaran udara. Penyelesaiannya terletak pada dasar umum yang agresif," kata Greenstone, dari Institut Dasar Tenaga, Universiti Chicago. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X