Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:07pm
ELLIKA mendakwa hatinya ‘cair’ diumpan pelbagai ayat manis hingga hampir bersetuju mendirikan rumah tangga. Foto IG

Pelakon popular 'kantoi' curang?

KUALA LUMPUR: Biarpun ada beranggapan dia sengaja membuka pekungnya sendiri, wanita yang memperkenalkan diri sebagai Ellika Azman sanggup mengambil risiko apabila membuat pendedahan, hampir mendirikan rumah tangga dengan jejaka mirip pelakon lelaki popular berstatus suami orang.

Ellika dalam satu muat naik menerusi Instagram mendakwa, dia bertindak mendedahkan perkara itu supaya wanita lain di luar sana tidak tertipu dengan jerat dan ayat manis jejaka itu.

Dia yang turut mendedahkan beberapa gambar dan video bersama jejaka mirip pelakon itu mendakwa, hubungan mereka bermula pada September tahun lalu.

Biarpun menyedari hubungan itu salah dan tidak sepatutnya berlaku, Ellika mendakwa, hatinya ‘cair’ apabila diumpan jejaka itu dengan pelbagai ayat manis.

“Setiap hari, dia mengirim teks dan menghubungi saya meluahkan perasaan hingga lama-kelamaan hati saya ‘cair’. Memang saya silap kerana memberinya ruang dan akhirnya saya jatuh cinta.

“Mac lalu, dia datang bertemu kedua-dua orang tua saya untuk meminta restu. Hubungan kami semakin serius, malah turut merancang melangsungkan pernikahan pada minggu depan.

“Tetapi, semakin dekat tarikh pernikahan kami, semakin banyak perkara yang berlaku. Saya membuat keputusan melakukan solat Istikharah meminta petunjuk.

“Mungkin Allah mempunyai perancangan lebih baik apabila saya mendapat tahu, dia sebenarnya mempunyai seorang lagi isteri dan turut dikurniakan anak hasil perkahwinan keduanya itu,” dakwa gadis itu.

Dakwa Ellika lagi, lebih membuatnya terkilan dan sedih, lelaki itu turut dikatakan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami serta bapa apabila tidak pernah menjenguk bayinya sejak dilahirkan.

“Pada hari saya sepatutnya bertemu keluarganya, saya sudah membuat keputusan membatalkan perancangan kami untuk bernikah. Apabila dia menghubungi, tiba-tiba ibunya membuat tuduhan, malah lelaki itu turut meminta sejumlah wang.

“Saya akan kongsi satu persatu kerana tidak mahu dianggap mereka-reka cerita. Hanya saya, dia dan Allah yang tahu kebenaran cerita ini,” kata Ellika.

Usaha BH Online menghubungi pelakon yang dikaitkan bagi mendapatkan kepastian berhubung dakwaan yang dilemparkan gagal apabila telefon bimbitnya tidak dijawab.

Berita Harian X