Jumaat, 29 November 2019 | 6:12pm
PELAKON, Nur Risteena Munim. - NSTP/Rohanis Shukri

Risteena bertunang 6 Disember?

KUALA LUMPUR: Teka-teki perhubungan Nur Risteen Munim, 30, bersama seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya semakin hangat diperkatakan apabila pelakon terbabit berkongsi kad jemputan ke sebuah majlis di Putrajaya, 6 Disember ini.

Memuat naik gambar kad undangan berkenaan menerusi laman sosial Instagramnya, malam tadi, pelakon terbabit bagai mengotakan janjinya untuk berkongsi mengenai perkara itu bersama umum, dalam masa terdekat.


RISTEENA berkongsi gambar kad undangan ke sebuah majlis yang akan berlangsung di Putrajaya, 6 Disember depan, di laman sosialnya, malam tadi.

Sehingga kini, biarpun tidak mendedahkan gerangan pemuda yang berjaya menawan hatinya, ramai yang membuat spekulasi jejaka terbabit adalah bakat baharu dunia seni, Isa Khan.

“Jika anda ingin mengetahui cerita sebenar, kenalah datang ke majlis itu nanti. Segala-galanya akan terjawab pada tarikh berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Biarpun tidak menyatakan dengan jelas majlis bakal diadakan itu, tidak kurang andaian dibuat kononnya ia majlis pertunangan pelakon terbabit dengan pemuda berkenaan.

Pelakon Menjinak Ombak itu memaklumkan, majlis terbabit hanya dibuat secara kecil-kecilan.

“Ia majlis biasa-biasa sahaja,” pintasnya yang enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung acara yang dikatakan bertemakan malam romantis itu.


PENYANYI dan pelakon, Isa Khan, dikatakan jejaka yang berjaya memenangi hati Risteena. - NSTP/Aziah Azmee

Baru-baru ini, Risteena mendedahkan hubungan selama tujuh tahun dengan Ikhwan Khairuddin sudah berakhir, beberapa bulan lalu.

Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas ketika bercakap kepada B*POP juga berkata, ‘jejaka misteri’ yang hadir ke dalam hidupnya bagaimanapun berjaya merawat kedukaan hati selepas perpisahan berkenaan.

Berita Harian X