Selasa, 1 Ogos 2017 | 12:03am
GAMBAR fail, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi (kanan) menunjukkan kad perubatan SENIMAN. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

PERKESO sedia temui penggiat seni

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedia bertemu dengan persatuan penggiat seni tanah air bagi menerangkan kelebihan mencarum bagi golongan berkenaan.

Ini termasuk membincangkan dasar dan mekanisme caruman, dalam memastikan konsep 'menang-menang'.

Antara persatuan yang menjadi perhatian PERKESO ialah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) yang dikatakan memiliki ramai keahlian.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed, berkata walaupun akta berkenaan hanya dikuatkuasakan terhadap pemandu teksi, namun pihaknya tidak menghadapi masalah untuk memperluaskan ke bidang pekerjaan lain.


Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto Zaen Asyraf

"Sebagai contoh penyanyi, pelakon, pemuzik dan pekerja di belakang tabir seperti jurukamera, juru lampu, jurutera bunyi, pelakon lagak ngeri serta pembantu produksi, mereka ini dikategorikan bekerja secara kontrak untuk perkhidmatan atau 'contract for service' (CFS).

"Berdasarkan syarat PERKESO sesiapa yang bekerja secara CFS, mereka tidak layak atau wajib mencarum dengan kami.

"Bagaimanapun, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), memberi peluang dan harapan kepada golongan terbabit untuk sama-sama menikmati faedah yang disediakan kerajaan apabila mereka mencarum," katanya kepada BH.

Semalam, rata-rata penggiat seni mahukan mereka dilindungi skim perlindungan keselamatan sosial kerana golongan ini terdedah kepada bahaya kecelakaan di dalam perjalanan ke tempat kerja, di lokasi penggambaran atau rakaman dan pulang ke rumah.

Ia berikutan terdapat beberapa artis antaranya komposer Azmeer dan Saari Amri, Amir Ukay's serta Zaiton Sameon terpaksa menanggung sendiri kos rawatan serta perubatan yang tinggi selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.


PENGERUSI Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave menyeru semua penggiat seni tanah air menyertai program khairat anjuran yayasan itu. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Malah, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave turut menyarankan 61 persatuan penggiat seni segera menemui PERKESO bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masa depan mereka.

Mohammed Azman berkata, PERKESO tidak akan memaksa penggiat seni mencarum dan pada masa yang sama tidak melihat perkara ini sebagai beban kepada golongan terbabit sebaliknya mampu menjamin masa hadapan.

"Merekalah yang kena bersedia untuk dicarum kerana manfaat yang diperoleh mereka adalah besar terutama sekali ketika berdepan dengan musibah atau kecelakaan ketika waktu bekerja.

"Kadar caruman PERKESO untuk yang bekerja sendiri amat rendah iaitu 1.25 peratus pendapatan bulanan dan saya tidak merasakan satu bebanan kepada mereka berbanding faedah yang menanti," katanya.

Untuk pekerjaan sendiri, pada dasarnya PERKESO menyediakan empat opsyen kepada pencarum iaitu jika memperoleh pendapatan yang diinsuranskan sebanyak RM1,050, maka kadar caruman ialah RM157.20 setahun - sekali bayar.

Opsyen kedua - jika memperoleh RM1,550 kadar caruman RM232.80; ketiga (RM2,950 - kadar caruman RM442.80) dan keempat (RM3,950 - RM592.80).


GAMBAR fail, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi @Pauzi Ayob (empat dari kanan) menerima replika kad perubatan daripada Presiden SENIMAN, Zed Zaidi pada majlis pelancaran kad perubatan Seniman pada 16 Februari lalu. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Persatuan penggiat seni sedia bekerjasama

KUALA LUMPUR: Sejak di era Studio Jalan Ampas lagi, tiada sebarang dasar mewajibkan penggiat seni tanah air mencarum dengan PERKESO.

Malah, penggiat seni yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri, dilihat mempunyai masa depan yang kelam termasuk kebajikannya dan ahli keluarga mereka terabai, sekiranya berlaku kecelakaan di tempat kerja berikutan tiada caruman.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil @ Zed Zaidi, mengakui sejak dahulu hingga kini, tiada seorang artis di negara ini sudah mencarum dengan PERKESO atas pekerjaannya sebagai penggiat seni.

"Penyanyi, pelakon, pemuzik, penulis skrip atau lirik dan pekerja di belakang tabir seperti jurukamera, juru lampu, jurutera bunyi, pelakon lagak ngeri serta pembantu produksi, rata-rata tidak pernah membuat caruman.

"Mereka bekerja atas tawaran kontrak untuk perkhidmatan (CFS) bagi satu-satu projek sama ada album lagu, filem atau drama dan bukannya kontrak perkhidmatan 'COS' yang bekerja menerima gaji tetap bulanan.

"Bagi mereka yang mempunyai polisi insurans, mungkin boleh menarik nafas lega, sedikit sebanyak boleh meringankan bebanan terutama kos perubatan. Bagi mereka yang langsung tiada insurans atau caruman PERKESO sudah pasti kehidupan mereka terumbang-ambing," katanya kepada BH.


Presiden SENIMAN, Zed Zaidi. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Justeru, Zed Zaidi amat mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubungan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan berharap diperluaskan segera kepada penggiat seni.

Katanya, dahulu memang pernah Seniman suarakan permasalahan ini kepada PERKESO, namun ketika itu tiada akta yang membolehkan caruman dilakukan.

"Dengan adanya akta berkenaan, saya berharap penggiat seni ini diberi peluang membuat caruman berkenaan sekali gus menjamin kebajikan mereka dan ahli keluarga pada masa depan.

"Untuk itu, Seniman sedia bekerjasama memberi input, idea dan membincangkan skim PERKESO berkenaan sama ada relevan atau sebaliknya dengan penggiat seni," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), Mejar (K) Datuk David Teo meminta PERKESO memperjelaskan mekanisme potongan caruman berkenaan bagi mewujudkan situasi menang menang.

"Kita tidak mahu apabila PERKESO menguatkuasakan arahan caruman itu nanti ia bertentangan dan tidak sesuai bagi penggiat seni.

"Pada dasarnya, saya amat bersetuju - 100 peratus, jika kerajaan mahu semua artis mencarum kepada penggiat seni.

"Sebenarnya pelakon, penyanyi malah krew dan kakitangan sokongan sudah lama menanti skim PERKESO yang sesuai. Ini untuk menjamin masa depan mereka sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja," katanya ketika dihubungi.

INFO

  • 1 Januari 1971 - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan sebagai Jabatan Kerajaan pada bagi menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan kemudian menjadi sebuah Badan Berkanun mulai 1 Julai 1985.
  • 1 Januari 1992 PERKESO diasingkan daripada Sistem Saraan Baru Kerajaan dan Sistem Saraan Baru PERKESO diperkenalkan.
  • PERKESO mentadbirkan skim keselamatan sosial yang memberi perlindungan kepada pekerja terhadap beberapa kejadian luar jangka seperti bencana pekerjaan termasuk kemalangan semasa perjalanan, keilatan dan kematian.
Berita Harian X