Rabu, 13 September 2017 | 7:32pm
Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Fauzi Ayob ketika sidang media sempena Festival Filem Malaysia ke-29 hari ini. Festival filem itu akan berlangsung pada 23 Sept ini di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto BERNAMA

53 filem bertanding pada FFM29

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 menyaksikan 53 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada 23 September ini.

Daripada jumlah itu, 41 judul adalah filem bahasa Melayu, enam karya Mandarin, lima naskhah Tamil dan sebuah filem Inggeris.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Datuk Fauzi Ayob, berkata, senarai Top 5 setiap kategori hanya diumumkan pada malam kemuncak.

"Sebelum ini, FFM diadakan dua malam membabitkan Anugerah Utama dan kategori teknikal. Namun, kali ini, semua 24 anugerah akan disampaikan pada malam kemuncak.

"Mekanisma ini diambil untuk menghargai usaha karyawan baik di depan mahupun di belakang tabir yang berjuang mendapatkan kualiti kerja terbaik.

"Untuk penganjuran kali ke-29, fokus pengiktirafan lebih kepada filem cereka saja. Pengiktirafan karya animasi dan filem pendek akan dipertandingkan dalam platform lain," katanya pada sidang akhbar.

Mengangkat tema Transformasi Citra Karya, Fauzi berkata, FINAS akan membawa kelainan dengan memberi fokus kepada program pembangunan untuk modal insan.

"FFM29 bukan hanya untuk berseronok tapi perlu diserapkan dengan pengisian keilmuan untuk meningkatkan kreativiti dan idea.

"Pelbagai program diatur untuk penggiat seni antaranya membawa pakar filem dari India dan Amerika Syarikat (AS) mengendalikan kelas sinematografi di Studio Sound Stage FINAS," katanya.

FFM29 menyaksikan pelawak, Zizan Razak sebagai hos utama berganding dengan Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Tanuja.

Karyawan dan penggiat seni yang akan menyampaikan anugerah adalah Datuk Norman Halim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Osman Ali, Vanidah Imran, Fattah Amin, Fasha Sandha, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Kumpulan KRU, Aisyah Aziz, Mirwana, UNIC, Salamiah Hassan, Atillia, Shiha Zikir dan Akim & The Majistret pula menjayakan segmen persembahan.

FFM29 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD pada jam 9 malam.


Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob (tengah) bergambar bersama artis, karyawan dan penggiat industri yang hadir ke majlis Sidang Media Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) di Park Royal Hotel, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rosela Ismail

895 dibaca
Berita Harian X