Isnin, 16 Oktober 2017 | 11:41pm
PENYANYI, Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau dikenali sebagai Wany Hasrita. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Tajul Arif Noor. - Foto Aziah Azmee
KOMPOSER dan penyanyi, Ippo Hafiz membuat persembahan pada Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Foto Aizuddin Saad
PENGGUBAH muzik, Harry Khalifah.
PENYANYI dan pencipta lagu, Ridzuan Haqiem Rusli atau dikenali Haqiem Rusli. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
MUZIK video penyanyi Ismail Izzani berjudul Sabar.
PENYANYI Irfan Haris.

Lagu 'tangkap leleh' identiti muzik Melayu

KUALA LUMPUR: Berdiri atas paksi irama Melayu sebenar membawa komposer baharu meneroka kembali muzik era 1990-an dengan suntikan moden.

Tidak menjadikan genre itu sebagai acuan, sebaliknya, hanya arah muzik era berkenaan diambil berikutan iramanya masih mendapat tempat di hati pendengar.

Melihat perkembangan itu, penyanyi dan pencipta lagu, Haqiem Rusli menganggap sesuatu yang berbaloi untuk penyanyi baharu sepertinya membawa identiti sebenar muzik Malaysia.

"Ke mana pun arahnya, kita tetap akan kembali ke muzik sedemikian. Ini kerana itulah muzik Melayu kita. Sebab orang Melayu lebih sukakan muzik sedemikian.

"Kalau kita tengok muzik Projector Band, mereka adalah pencetus kembalinya lagu 1990-an seperti lagu Sudah Ku Tahu. Lagu saja dilihat seperti 1990-an, tetapi susunan muziknya moden. Bagi saya, itu sesuatu yang baharu dan segar," katanya kepada BH Plus.


PENYANYI dan pencipta lagu, Ridzuan Haqiem Rusli atau dikenali Haqiem Rusli. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menganggap lagu-lagu yang dicetuskan generasinya masih ke depan biarpun arah muziknya dilihat kembali ke belakang, bagi Haqiem, ia mampu untuk bertahan lama.

Dalam hal ini, industri muzik mempunyai skop yang sangat luas. Setiap pengkarya perlu bijak dalam menyusun hasil ciptaan mereka biarpun ada pihak tidak berpuas hati dengan muzik yang dianggap ketinggalan.

"Kadang-kadang orang yang cakap begini sebenarnya tak puas hati sebab tengok orang lain berjaya. Dia akan cari salah. Saya rasa lagu sebegini sampai bila-bila pun akan mampu bertahan kalau muzik itu ada kualiti dan karya tak merepek.

"Sebagai contoh, lagu Ismail Izzani berjudul Sabar, muziknya segar dan ke depan. Cuma, kita perlu bijak mengadun irama 1990-an dengan yang baharu. Lagu Irfan Haris juga ke depan dengan konsep ketuhanan, jadi perkara ini perlu pelbagai.


MUZIK video penyanyi Ismail Izzani berjudul Sabar.

PENYANYI Irfan Haris.

"Muzik ini luas. Kita tak boleh buat lagu ke depan saja. Ini kerana pendengar ada pilihan dan ada yang mahukan muzik begini.

"Orang yang terlalu berkarya ada ketikanya tak menjadi pun. Apa yang menjadi tetap muzik 1990-an," katanya yang turut menghasilkan lagu untuk Irfan Haris berjudul Pesan dan Putera Band berjudul Tersiksa.

Elemen 'rock kapak'

Kejayaan lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino juga dianggap pelopor kepada irama 1990-an untuk kembali mewarnai dunia muzik tanah air.

Meraih jumlah tontonan lebih 40 juta di laman YouTube serta menjadi siulan ramai, membuatkan ramai penyanyi cuba mengikut jejak langkahnya dengan mendendangkan lagu dari genre muzik yang sama.

Seakan mudah mengenali dendangan irama 1990-an apabila bunyi lagunya mendayu-dayu atau bahasa slanganya, 'tangkap leleh'.

Bukan bercakap kosong, sebaliknya apabila melihat aliran muzik yang muncul selepas populariti lagu ciptaan bapa Aiman sendiri iaitu Yusri Ishak, jelas menunjukkan kebanyakan melodinya memang berteraskan era 1990-an. Bukan saja pada irama, tetapi juga pada liriknya.

Siapa sangka, melodi yang dianggap ketinggalan zaman dan mundur itu mampu berada di kedudukan sekarang. Malah, Ku Rela Dibenci bergelar finalis untuk acara anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu, tahun lalu.

Mengimbau kembali di sebalik kejayaan lagu yang membawa perubahan kepada landskap muzik Malaysia itu, tentunya orang yang paling layak untuk bercerita adalah si penggubah muziknya iaitu Harry Khalifah.

Harry berkata, dia tidak menyangka hasil kerjanya itu meraih pengiktirafan malah berjaya mencetuskan fenomena kepada aliran muzik tanah air.


PENGGUBAH muzik, Harry Khalifah.

"Sebelum saya membuat susunan muzik untuk sesebuah lagu itu, saya terlebih dulu mengkaji karakter dan vokal penyanyi.

"Sebaik mendengar vokal Aiman terus saya bayangkan lagunya seperti 'rock kapak' zaman dulu-dulu. Sebagai seorang yang membesar dengan genre lagu seperti itu, sedikit sebanyak ia mempengaruhi cara saya menggubah sesebuah lagu.

"Kebetulan suara Aiman sangat sesuai dengan lagu sebegitu. Jadi saya pun gubahlah muziknya mengikut kesesuaian vokal selain berdasarkan cita rasa saya sendiri. Tak sangka pula lagu sebegitu kembali diminati dan terus menjadi ikutan penyanyi lain," katanya.

Inovasi dalam berkarya

Penghasilan sesebuah karya bukan sekadar mengikut aliran, sebaliknya perlu mendidik pendengar dengan muzik baharu bagi membawa industri melangkah ke depan.

Walaupun muzik era 1990-an diterima pendengar, bagi penyanyi dan pencipta lagu, Ippo Hafiz, pengkarya juga perlu berani dan bijak untuk membuat perubahan bagi mewarnai lagi landskap industri muzik.

"Pendengar di Malaysia ini kebanyakannya mengikut aliran terkini. Mereka suka benda-benda macam ini sebab kurang diberikan pendedahan mengenai muzik yang kian berkembang.

"Di Indonesia, kita tengok muzik seperti Raisa Andriana, Tulus dan Isyana Sarasvati ada elemen moden.


KOMPOSER dan penyanyi, Ippo Hafiz membuat persembahan pada Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Foto Aizuddin Saad

"Tetapi, muzik kita kembali ke era 1990-an. Ada bagus dan buruknya, seperti mungkin pendengar tidak dapat berkembang dari segi muzik.

"Sepatutnya pengkarya menjadi platform kepada pendengar untuk mencetuskan muzik baharu untuk mendidik mereka menerima pembaharuan," katanya.

Menganggap muzik sepatutnya diangkat ke depan, bukannya kembali ke belakang, Ippo berkata, sebagai pendengar, mereka perlu mengkaji dan mengangkat seseorang pengkarya itu ke hadapan dengan pembaharuan.

"Tidak salah jika seseorang penyanyi punya jiwa untuk menyanyikan lagu-lagu 1990-an. Kalau itu jiwa dia, kita tak boleh halang sebab saya menghasilkan lagu mengikut cita rasa artis.

"Industri kita ada Amir Jahari yang memperjuangkan identiti muzik dia ke depan, tetapi kurang dapat tumpuan sebab pendengar kita kurang diberi pendedahan. Semua pihak perlu bersatu demi mengangkat muzik kita supaya orang luar nampak muzik kita sangat kukuh," jelasnya.

Tak semua suka R&B

Tidak boleh meletakkan kesalahan di bahu komposer dan penyanyi disebabkan kembalinya muzik era 1990-an, sebaliknya Tajul Arif berpendapat, pendengar yang mahukan muzik seumpama itu dikembalikan.

Sesetengah penyanyi diberi karya sedemikian atas kehendak label dan bergantung kepada pendengar untuk menerima atau sebaliknya.

"Muzik era 1990-an bergantung kepada kualiti karya dan nyanyian. Kalau kedua-duanya sedap, mungkin orang akan ingat sampai bila-bila. Ia bergantung juga kepada peminat sama ada boleh terima atau tidak.


PENYANYI, Tajul Arif Noor. - Foto Aziah Azmee

"Sebab itu, kalau saya buat persembahan, saya akan tarik budak-budak supaya mereka ingat lagu saya sampai mereka tua. Kalau dapat ke tahap begitu, alhamdulillah," katanya.

Tidak menjadikan sesebuah genre sebagai kekuatannya, Tajul menerima apa saja karya yang diberi asalkan sesuai dengan vokal dan dirinya.

"Saya tak kisah muzik yang macam mana, janji saya boleh bawa. Bergantung kepada minat masing-masing. Tak semua orang suka R&B sebab ada yang suka lagu-lagu jiwang. Sebagai penyanyi, kita bergantung kepada penerimaan pendengar," katanya.

Wany tak malu dengan Menahan Rindu

Pasangan duet kepada Tajul yang juga bernaung di bawah label yang sama dengannya, Wany Hasrita turut berkongsi pandangan yang serupa dengan jejaka itu.

Menurut Wany yang dicungkil bakat nyanyiannya menerusi laman sosial Smule, asalkan peminat suka dan lagu memberi manfaat dengan situasi 'menang-menang' antara penyanyi dan label, ia sudah memadai.

"Tak perlu nak rasa malu kalau ada yang kata melodi lagu Menahan Rindu itu ketinggalan zaman. Asalkan peminat suka, itu sudah memadai.


PENYANYI, Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau dikenali sebagai Wany Hasrita. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Bagi saya tak salah kalau kita nyanyikan lagu yang muziknya seperti zaman 1990-an. Ini kerana lagu begitu memang sesuai dengan jiwa saya. Lagipun saya memang meminati lagu irama tradisional dan cara nyanyiannya juga tak banyak beza.

"Sebagai penyanyi saya hanya mengikut apa saja yang dikehendaki pihak syarikat rakaman. Mereka yang menentukan hala tuju lagu nyanyian saya.

"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengannya. Walaupun cita rasa muzik saya lebih kepada lagu Inggeris yang lebih urban, tapi saya tetap menyanyikan lagu yang mendayu-dayu," katanya.

INFO: Elemen yang dilihat ada muzik irama 1990-an

  • Muzik kedengaran 'mendayu-dayu' atau 'tangkap leleh' dan pantas menarik emosi pendengar.
  • Lirik puitis, berbunga atau kreatif yang selalunya berkisar pergolakan perasaan, kisah cinta dan kecewa.
  • Dipelopori karya berentak pop, balada, pop rock dan rock.
  • Gabungan vokal, komposisi lagu, lirik dan karektor penyanyi menambah impak pada lagu.
  • Aiman Tino, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Tajul Arif antara penyanyi angkatan baharu yang sinonim dengan genre muzik 1990-an.
  • FMC Music antara syarikat rakaman paling aktif menyemarakkan semula irama era 1990-an.

Berita Harian X