Selasa, 26 Disember 2017 | 1:47pm

Festival hipster, GegaRia pada tahun baharu

KUALA LUMPUR: Menggabungkan pelbagai elemen gaya hidup dengan konsep lebih santai dan hipster, Media Prima Berhad akan menganjurkan Festival GegaRia di tiga tempat bermula di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 13 Januari depan.

Festival sehari bermula jam 8 pagi itu akan menghimpunkan pelbagai acara seni seperti permainan, kecergasan, juadah enak, fesyen dan muzik dengan penampilan artis popular secara percuma, kepada orang ramai.

Setakat ini, artis yang akan bakal menghangatkan pentas dalam segmen konsert pada sebelah malam ialah Noh Salleh, Bunkface, De Fam dan Akim & The Majistret.

Selain itu, pelbagai acara menarik termasuk penghasilan produk seni 'funky' oleh artis tempatan serta binaan struktur huruf gergasi berwarna-warni yang diilhamkan daripada rumah tradisional Melayu, amat sesuai diabadikan dalam foto.

Ciptaan seni 'funky' daripada bahan kegunaan harian seperti tin biskut, teh tarik dan batik ditambah dengan seni estetika lain seperti tali warna, layang-layang dan pintu rumah tradisional Malaysia berwarna-warni, pasti menarik perhatian pengunjung.

Semua elemen ini direalisasikan bagi menampilkan kelainan dan peluang kepada orang ramai, untuk mengabadikan kenangan sepanjang festival berlangsung dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Bukan sekadar berhibur dan berlibur, pengunjung juga berpeluang menyertai acara kecergasan dan sukan tradisional seperti zumba, congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga, selain e-games yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Pengunjung juga berpeluang berkongsi dan menimba ilmu daripada influencer terkenal, seperti Faiz Dickie dan JinnyboyTV yang akan berkongsi kisah kejayaan dalam kerjay masing-masing.

Karnival yang berlangsung di tapak letak kereta B, Setia City Convention Centre di Shah Alam pada 13 Januari itu akan turut dianjurkan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari, disusuli Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

1179 dibaca
Berita Harian X