Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:46pm

GegaRia dekati generasi milenia

SHAH ALAM: Seiring trend dunia digital, Media Prima Berhad menganjurkan Festival GegaRia di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini, sebagai platform terbarunya mendekati generasi milenia.

Festival GegaRia ialah acara hipster pelbagai elemen gaya hidup dengan fokus utama generasi muda yang boleh dikongsi melalui hashtag #gogegaria #gegariafest #festivalgegaria.

Sehingga jam 11 pagi tadi, GegaRia mengumpulkan lebih 10,000 follower di Facebook dan Instagram.

Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata GegaRia dianjurkan seiring dengan peralihan Media Prima kepada dunia digital yang menumpukan kepada media sosial.

Katanya, festival itu dijana dan digerakkan tenaga kerja muda Media Prima dengan menggabungkan semua aset digital, dan pihak pengurusan bertindak sebagai jurupandu.


ABDUL Jalil (kanan) ketika melakukan lawatan di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Ini platform baru Media Prima bergerak ke depan untuk merapati anak muda. Kita gunakan seluruh aset Media Prima, termasuk media sosial. Sekarang dah capai 10,000 follower (FB/Instagram).

"Ideanya, kita mahu GegaRia posting viral. Ini cara baru Media Prima," katanya, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Periklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.

Antara acara festival itu ialah permainan dalam talian e-games, 'throwback tunnel' yang mempamerkan koleksi foto nostalgia dalam gaya hipster, persembahan artis tempatan, trak makanan, permainan tradisional, sesi ramah mesra artis dan segmen komuniti.

Turut mendapat perhatian ramai ialah penghasilan produk seni 'funky' oleh artis dan binaan struktur huruf gergasi kreatif yang diabadikan pengunjung dalam visual dan foto instagram mereka.

Hujan renyai-renyai di sini tidak menghalang pengunjung untuk hadir festival itu dengan lebih 500 hadir untuk mengikuti senaman zumba, selain memenangi cabutan bertuah.

Lebih ramai dijangka hadir menyaksikan persembahan artis tempatan pada sebelah petang dan malam.

Festival hari ini pertama GegaRia dengan acara seterusnya di Angsana Johor Bharu Mall, Johor Bharu, pada 3 Februari dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, 24 Februari.

131 dibaca
ABDUL Jalil (kanan) ketika melakukan lawatan di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X