Isnin, 16 April 2018 | 3:36pm
PEMAIN bass kumpulan rock era 1970-an, Blues Gang, Jim Madasamy

Perginya pejuang blues sejati

KUALA LUMPUR: Pemain bass kumpulan rock era 1970-an, Blues Gang, Jim Madasamy, 68, meninggal dunia kira-kira 7 pagi tadi ketika menunggang basikal di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Batu, dekat sini.

Vokalis kumpulan itu, Ito Mohd berkata, berita kematian rakan seperjuangan hampir lima dekad sejak penubuhan kumpulan itu cukup mengejutkannya kerana mendiang adalah anggota kumpulan itu yang paling dihormatinya.

"Saya sudah lama tidak bertemu mendiang. Kali terakhir kami bertemu sekitar November lalu ketika konsert amal bagi memungut dana untuk membantunya. Mendiang sudah setahun lebih tidak bersama Blues Gang kerana kurang sihat akibat penyakit Alzheimer.

"Ketika pertemuan itu, keadaan fizikalnya masih baik, cuma mendiang tidak ingat siapa saya. Jadi, kami memintanya supaya berehat sahaja di rumah.

"Saya dapat tahu mengenai kematiannya kira-kira 9 pagi tadi dan difahamkan, mendiang menghembuskan nafas terakhir akibat jatuh basikal," katanya kepada BH Online.

Menyifatkan Madasamy sebagai seorang abang yang penyabar dan senang berurusan dari segi latihan muzik serta persembahan, Ito berkata, mendiang juga gemar bersukan.

"Mendiang tidak merokok, malah tidak menyentuh minuman keras. Mendiang gemar bersukan terutama maraton dan pernah ke luar negara untuk aktiviti itu" katanya.

Sementara itu, pemain keyboard kumpulan yang popular dengan lagu Apo Nak Di Kato, Abdul Ghani Talib atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Ghani menyifatkan Madasamy sebagai anggota Blues Gang yang sejati.

"Kekuatan dan kecintaannya terhadap muzik membuktikan mendiang adalah peminat blues yang sebenar. Sejak penubuhan Blues Gang sehingga ke hari ini, mendiang adalah kekuatan kumpulan ini.

"Cuma, sejak setahun dua ini, mendiang tidak lagi bersama kami sebab penyakit Alzheimer yang dihidapinya. Namun, kekuatannya sentiasa bersama kami," katanya.

6264 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »