Isnin, 18 Jun 2018 | 3:14pm

Taman Tema Upin & Ipin mampu jana ekonomi

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbitan kandungan animasi tempatan, Les' Copaque Production Sdn Bhd (Les' Copaque) yakin cadangan membangunkan Taman Tema Upin & Ipin setaraf Universal Studios boleh membantu pertumbuhan industri pelancongan selain limpahan faedah lain.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Razdi berkata, siri animasi Upin & Ipin dianggap jenama besar yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan sektor pelancongan dan industri hiliran di Malaysia.

"Upin & Ipin bukan sekadar boleh diperluaskan sebagai jenama kartun, malah boleh dipelbagaikan termasuk dengan membina taman tema.

"Selama ini, syarikat sudah 'kejar' banyak pihak berkaitan, namun kita tidak mendapat sokongan.

"Sedangkan, kita tahu kewujudan taman tema seumpama itu boleh dilihat daripada sudut yang lebih luas. Ini termasuk kadar tukaran wang asing melalui pertumbuhan industri pelancongan.

"Dengan adanya Taman Tema Upin & Ipin, saya yakin ia mampu menjana banyak aspek lain.

"Malah, kita juga boleh buka kilang jual barangan eksklusif karakter ini di Gua Musang, Kelantan, sebagai contohnya. Kilang itu dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya selepas bertemu anggota Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di sini, hari ini.

Pada sesi itu, antara lain, Burhanuddin membentangkan cadangan membangunkan Taman Tema Upin & Ipin yang mula diumumkan pada 2014, namun terbantut akibat kekangan dana.

Burhanuddin berkata, banyak pihak berminat membuka taman tema selepas menyedari potensi projek itu.

"Namun, sejauh mana mereka mengkajinya dengan lebih mendalam? Taman tema di Malaysia tidak banyak... Apa yang ada lebih kepada taman permainan dan air.

"Kita mahu wujudkan taman tema seperti Universal Studios dan Disneyland," katanya.

Pada pertemuan itu, Burhanuddin turut menyentuh isu agihan dana untuk industri kreatif yang disaran lebih telus.

"Selepas 10 tahun dalam industri ini, saya lihat agihan dana harus dipertingkat dengan lebih sistematik. Pihak yang mengurus dana itu jangan anggap mereka pandai.

"Agihan dana biarlah betul... Jangan beri sebab kawan atau pilih kawan.

"Malah, orang yang buat perniagaan dan perlukan dana kena jujur dengan apa yang mahu dilakukan. Jangan fikir semata-mata nak ambil geran, namun hasilnya tiada," katanya.

Mengenai operasi syarikat, Burhanuddin berharap misi Les' Copaque menembusi pasaran China akan menjadi realiti

"Selepas tembus pasaran Indonesia, kita sasarkan China pula.

"Kita ada hasilkan filem baharu Upin & Ipin serta merancang melancarkannya, Mac tahun depan. Kita berusaha menayangkannya di China biarpun sedar, ia bukanlah mudah," katanya.

Burhanuddin berkata, langkah itu sukar berikutan China difahamkan mengehadkan penghasilan 70 filem setahun.

"Mereka pandang filem Hollywood saja. Mereka sangat cerewet dalam soal kandungan. Jadi, besarlah harapan kita melihat jenama Upin & Ipin dapat tembusi pasaran China," katanya.

Selain itu, Burhanuddin berharap produk tempatan terus diperkasakan di negara sendiri, bukannya dianaktirikan.

"Tak perlu kita cakap soal yang lebih jauh. Negara sendiri pun kita susah nak pergi," katanya yang berdepan isu penyiar tidak mahu membeli siri animasi Upin & Ipin akibat isu kewangan.

Berita Harian X