Khamis, 26 Julai 2018 | 10:54pm
JUVITA Wan antara 26 penggiat seni yang menerima geran di bawqh Program Pembiayaan Inkubasi Artis 2018.

26 penggiat seni terima geran

KUALA LUMPUR: Seramai 26 anak seni tempatan menerima geran di bawah Program Pembiayaan Inkubasi Artis 2018, Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) dengan nilai keseluruhan mencecah RM455,000.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata dana itu dibahagikan kepada dua iaitu program pembiayaan penajaan membabitkan 10 penerima dan pembiayaan inkubasi artis baharu (16 penerima).

"Geran ini khas buat artis yang membuat persembahan skala kecil dan sederhana, iaitu kurang 500 penonton. Kebanyakan mereka memiliki bakat seni yang luar biasa, tetapi sukar mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

"Ia berbeza dengan artis arus perdana yang mempunyai laluan mudah dalam mendapatkan penajaan.

Setakat ini, lebih 300 permohonan dibuat dan hanya 26 penggiat seni yang dipilih untuk diberi penajaan mengikut jumlah tertentu," katanya.

Yang turut hadir, Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tony Pua Kiam Wee.

Dalam pada itu, Izan berkata, pemberian geran itu secara tidak langsung dapat melonjakkan seni dan budaya negara di mata masyarakat tempatan serta luar negara.

Sementara itu, penerima geran, Juvita Wan yang tampil dengan persembahan memaparkan keunikan Orang Ulu, Sarawak, The Sound and Sights of the Orang Ulu memperoleh dana berjumlah RM10,000.

"Kami akan mengadakan persembahan pertama pada Festival Kesenian Sime Darby, September ini. Geran yang diterima ini dapat mengurangkan beban, malah membantu kami membuat kajian mengenai kesenian budaya tradisional negara kita.

"Kebanyakan masyarakat tempatan sering mengambil ringan terhadap budaya dan seni negara, sedangkan orang luar menghargai keunikannya.

"Saya percaya, menerusi persembahan yang dianjurkan dapat membuka mata umum mengenai keunikan budaya masyarakat tempatan," katanya.

Sementara itu, Ilya Hida Ismail Hisham yang menerima geran menyiapkan album berjumlah RM20,000 pula berjanji akan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin.

"Tanpa geran ini, saya terpaksa keluarkan modal sendiri. Alhamdulillah, kertas cadangan mengenai pelan dan hala tuju penerbitan album pertama saya diterima.

"Insya-Allah, saya akan mendapatkan khidmat produser tempatan dan Indonesia, selain bekerjasama dengan beberapa artis.

"Saya percaya, apabila menerbitkan sendiri album, kita dapat 'meneroka' muzik untuk menghasilkan produk yang unik dan berkualiti. Memadai jika usaha ini mendapat perhatian ramai, ia sudah membuat saya gembira," katanya.

Berita Harian X