Selasa, 23 Oktober 2018 | 7:28pm
BARISAN peserta Separuh Akhir Muzik-Muzik 33 bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pertembungan penyanyi senior, baharu hangatkan Separuh Akhir MM33

KUALA LUMPUR: Separuh Akhir Muzik-Muzik 33 (MM33) menyaksikan perubahan pada pola penyertaan apabila memperlihatkan pertembungan seimbang antara penyanyi berpengalaman dan bakat baharu atau BBNU.

Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid berkata, kehadiran penyanyi pelbagai era bersama lagu yang bagus memperlihatkan persaingan sengit untuk mara ke acara kemuncak, Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) pada Februari depan.

"Pola perubahan pada musim ini terserlah apabila penyanyi yang membuat kemunculan semula berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir MM33, sekali gus membuktikan mereka mampu memberi cabaran dengan vokal yang padu.

"Bakat dan kemampuan penyanyi muda juga tidak boleh dipertikaikan kerana MM33 bukan bersandar kepada populariti semata-mata, sebaliknya melihat kekuatan keseluruhan sesebuah lagu termasuk vokal dan penyampaian.

"Boleh dikatakan cabaran melangkahkan kaki ke AJL33 sangat besar dan pasti penuh warna," katanya pada sidang media memperkenalkan barisan komposer, penulis lirik serta penyanyi yang bertanding pada Separuh Akhir MM33, di sini hari ini.

Penyanyi berpengalaman yang membuat kemunculan semula dalam MM33 selepas sedekad menyepikan diri termasuk Siti Sarah yang mempertaruhkan lagu, Semakin nukilan Mera Utama dan Liza Hanim bersama Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik Fedtri Yahya.

Separuh Akhir MM33 menyaksikan 30 lagu bakal bersaing selama tiga minggu bermula 9 hingga 23 November ini bagi memilih 12 finalis untuk layak ke AJL33. Program itu menggandingkan Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM sebagai pengacara.

Antara lagu lain yang bertanding Di Mata Mu (Suffian Suhaimi), Bercanda Di Malam Indah (Kugiran Masdo), Dia (Dayang Nurfaizah), Hikayat Benladin (Ben Ladin), Luluh (Khai Bahar), Sulit (Aman Aziz) dan Kau Pun Sama (Syamel).

Lagu lain yang turut mara adalah Rintihan Cinta (Wany Hasrita), Sampai Bila (Misha Omar), Hajat (Hael Husaini), Selamat Tinggal Sayang dan Jatuh Bangun (Haqiem Rusli), Cakap ke Tangan (Stacy) serta Haram (Hael dan Dayang).

Berita Harian X