Jumaat, 2 November 2018 | 8:44pm
KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (kiri) dan penerbit, Datuk Yusof Haslam.
KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (kiri) dan penerbit, Datuk Yusof Haslam.

'Agih dana filem ikut kriteria, syarat ketat'

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berharap dana diperuntukkan kerajaan bagi penerbitan filem akan diberi mengikut kriteria dan syarat yang ketat.

Izham berkata, perkara itu harus dipandang serius agar dana dihulurkan mampu menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa seperti diinginkan kerajaan.

"Penyediaan dana untuk filem oleh kerajaan tentunya cukup dialu-alukan dan ia pasti menyokong perkembangan industri terbabit.

“Cuma, saya berharap ia akan diberi berpandukan kriteria tertentu selain syarat sangat ketat agar karya yang bagus dapat dihasilkan.

"Pastikan penerimanya mampu menghasilkan filem yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa. Filem tempatan berpotensi untuk dijadikan sebagai bahan eksport dan itulah juga yang kita mahukan," katanya kepada BH Online.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi menggalakkan penghasilan karya bertaraf antarabangsa menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

Sebagai tambahan, kerajaan menerusi Khazanah Nasional akan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk FIMI, khusus bagi penerbitan filem di Studio Pinewood di Iskandar Johor.

Sementara itu, penerbit berpengalaman, Datuk Yusof Haslam, berharap penggiat seni tempatan akan lebih diutamakan dalam pengagihan dana terbabit.

"Sebelum ini, kerajaan terdahulu ada menyediakan dana untuk penggiat seni filem, tetapi kebanyakannya diberi kepada produksi luar.

"Jadi kali ini biarlah tumpuan lebih diberikan kepada penggiat seni tempatan. Saya tidak mahu melihat produksi luar dengan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap dana disediakan.

"Apa pun, saya bersyukur kerana ketika negara berdepan masalah kewangan, kerajaan masih menyediakan sedikit dana untuk industri seni kita," ujarnya.

Berita Harian X