Sabtu, 3 November 2018 | 12:27am
PENDOSA Ingin Ke Syurga rarya arahan Rashid Sibir (kanan), dinobat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini. - Foto SADDAM YUSOFF

Pendosa Ingin Ke Syurga Drama Terbaik ASK 2018

KUALA LUMPUR: Karya arahan Rashid Sibir, Pendosa Ingin Ke Syurga, dinobat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Naskhah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu turut mengungguli kategori Pengarah Terbaik Drama dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama hasil lakonan hebat Fauziah Nawi.

Sementara itu, Dukun arahan Daid Said juga mencatat kejayaan besar dalam kategori filem apabila membawa pulang empat trofi.

Selain Filem Terbaik, karya terbitan Astro Shaw itu diumumkan pemenang kategori Pengarah Terbaik Filem, Pelakon Filem Wanita Terbaik Filem (Datin Seri Umie Aida) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem (Namron).


SHAHEIZY Sam

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem pula menjadi milik Shaheizy Sam, hasil lakonannya dalam Pinjamkan Hatiku. Filem arahan Osman Ali itu turut menyaksikan seorang lagi pelakonnya, Normah Damanhuri, memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.


NORMAH Damanhuri dinobat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto SADDAM YUSOFF

Watak gadis autisme lakonan Nad Zainal dalam drama Fatonah Azali membolehkannya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama, manakala trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama digenggam Jay Iswazir (Aku Nazmi).

Trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama jatuh ke tangan Fauzi Nawawi (Qalbu), sementara Mat Rukun memenangi kategori Drama Komedi Terbaik.

Drama siaran TV3 yang mencipta fenomena pada Ramadan lalu, Nur, turut mencipta gemilang pada ASK kali ini apabila pulang dengan tiga anugerah, iaitu Drama Rantaian Terbaik (kategori Bahasa Melayu), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Syafiq Kyle) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Amyra Rosli).

Drama Rantaian Terbaik bagi kategori Bahasa Cina pula dimenangi oleh Green Wall.

Antara pemenang lain ialah Anugerah Skrin 2017 (Rancangan Anugerah Terbaik), 999 (Rancangan Majalah Terbaik) dan Lets Cycle Season 3 (Rancangan Realiti Terbaik)

ASK 2018 mempertaruhkan 30 kategori, dengan 6 daripadanya diumumkan pada 28 Oktober lalu menerusi Melodi Anugerah Skrin 2018 di Serdang.

Enam kategori penerbitan dalaman yang diumumkan pada acara itu ialah Montaj Terbaik, Rancangan Dokumentari Terbaik, Rancangan Bual Bicara Terbaik, Laporan Khas Berita Terbaik, Reka Bentuk Set Terbaik dan Rancangan Hiburan Terbaik.

Cuba bereksperimen dan memberi dimensi baharu, ASK 2018 tidak mempunyai hos utama, sebaliknya 12 penyampai anugerah diberi tanggungjawab lebih berat kali ini.

Mereka ialah Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari, Maya Karin, Ayda Jebat, Zahirah Macwilson, Elly Mazlein, Sherry Alhadad, Izzue Islam, Sharnaaz Ahmad, Naz Habibur Rahman dan Shuk Sahar.

Dalam segmen persembahan pula, ASK2018 menampilkan gandingan Wany Hasrita, Ernie Zakri dan Shiha menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, Dikir Puteri, Cindai dan Hati Kama.


DATUK M Nasir turut membuat persembahan pada Anugerah Skrin 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto SADDAM YUSOFF

Artis lain yang turut menghiburkan penonton ialah Datuk M Nasir, Jaclyn Victor, Marsha, Elvira, Qody Rani, Altimet, Amelia Henderson, Raja Shahiran, Shawn Lee, Andrew Lee dan kumpulan OAG.

Keputusan penuh ASK 2018:

Kategori Drama:

Drama Terbaik: Pendosa Ingin Ke Syurga

Pengarah Terbaik: Rashid Sibir (Pendosa Ingin Ke Syurga)

Lakon TV Terbaik: Sophia J Rhyland (Aku Nazmi)

Pelakon Lelaki Terbaik: Jay Iswazir (Aku Nazmi)

Pelakon Wanita Terbaik: Nad Zainal (Fatonah Azali)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Fauzi Nawawi (Qalbu)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fauziah Nawawi (Pendosa Ingin Ke Syurga)

Drama Rantaian Terbaik (Kategori bahasa Melayu): Nur

Drama Rantaian Terbaik (kategori bahasa Cina): Green Wall

Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian: Amyra Rosli

Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian: Syafiq Kyle

Drama Komedi Terbaik: Mat Rukun

Videografi Terbaik: Nasarudin Ahmad Kamal (Nisaa)

Penyunting Terbaik: Mohd Shahrul Amin (Qalbu)

Kategori Filem:

Filem Terbaik: Dukun

Pengarah Terbaik: Dain Said (Dukun)

Lakon Layar Terbaik: Huzir Sulaiman (Dukun)

Pelakon Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Pinjamkan Hatiku)

Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Namron (Dukun)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Normah Damanhuri (Pinjamkan Hatiku)

Rancangan Majalah Terbaik: 999

Rancangan Realiti Terbaik: Lets Cycle Season 3

Rancangan Anugerah Terbaik: Anugerah Skrin 2017

Kategori Penerbitan Dalaman (diumumkan 28 Oktober)

Montaj Terbaik: Anugerah Juara Lagu 32

Rancangan Dokumentari Terbaik: Majalah 3 (Ops Benih Buaya)

Rancangan Bual Bicara Terbaik: Halaqah (Jin atau UFO)

Laporan Khas Berita Terbaik: Buletin Utama, Siri Laporan Khas: Imbauan Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiah

Reka Bentuk Set Terbaik: Anugerah Juara Lagu 32 - Fesyen dan Muzik

Rancangan Hiburan Terbaik: Bintang Bersama Bintang Raya

Berita Harian X