Jumaat, 23 November 2018 | 11:38pm
PENYANYI dan komposer, Hael Husaini. - Foto Khairunisah Lokman

Tiga lagu ciptaan Hael layak ke AJL 33

SHAH ALAM: Tiga karya ciptaan Hael Husaini bersama Ezra Kong, masing-masing berjudul Hajat, Haram dan Nisan Cinta antara 12 lagu layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33).

Jika Hajat dinyanyikan sendiri secara solo oleh Hael, Haram pula adalah lagu duetnya bersama Dayang Nurfaizah, manakala Nisan Cinta yang dicipta mereka bersama Mike Chan menyaksikan paduan suara Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.

Hael dan Ezra ialah pemenang AJL 32 menerusi lagu Jampi.

Turut melayakkan diri ke pertandingan berprestij itu yang dijangka berlangsung Februari depan ialah Sampai Bila nyanyian Misha Omar, lagu hasil ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri, Semakin (Siti Sarah / Mera Utama), Bunga (Ara Johari / Hang Nadim / Laq / Kadok), Luluh (Khai Bahar) dan Di Matamu (Sufian Suhaimi / Sirkhan & Rinkarnaen).

Lagu lain ialah Kau Pun Sama (Syamel / Kidd Santhe / Syamel), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra / Haqiem Rusli / Omar K / Ikhwan Fattana / Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer / Farouk Roman / Amylea) dan Bunga (Altimet / Omar K / John Jeevasingam / Altimet).

Keputusan berkenaan diumumkan pada minggu ketiga pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik 33 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam ini.

Sementara menunggu keputusan diumumkan, penonton dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Hazama & The Penglipur Lara serta Rahmad Mega.

Program separuh akhir rancangan hiburan popular itu yang bersiaran selama tiga minggu berturut-turut, bermula 22 November lalu, menyaksikan 30 lagu berentap merebut tempat ke AJL 33.

Karya pada peringkat separuh akhir dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri, Helen Yap, Edrie Hashim, Ajai, Azmeer, Lok U dan Cat Farish.

Dihoskan oleh Haziq Hussni dan Sherry Alhadad, rancangan berkenaan turut disiarkan secara langsung di portal video tonton (www.tonton.com.my) dan youtube @TV3Malaysia.

Berita Harian X