Isnin, 10 Disember 2018 | 5:49pm
Datuk Samsuni Mohd Nor.

Samsuni dilantik Pengerusi FINAS

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan baharu ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) termasuk Datuk Samsuni Mohd Nor selaku pengerusinya.

Pelantikan yang dibuat pada 22 November lalu itu bertujuan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan semula sesuai dengan hala tuju KKMM.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata ahli lembaga berkenaan terdiri daripada individu yang berpengalaman luas dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan, perakaunan dan perundangan.

Beliau berkata, Samsuni, yang juga Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, dibantu penasihat undang-undang, Affendy Ali Dally sebagai Timbalan Pengerusi.

“Ahli lembaga yang turut dilantik termasuk Rashid Karim, Hasnul Hadi Samsudin, Onn Norshal Hamzah, Mohan Rao, Salwah Shukor dan Andrew Tai.

“Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Siti Juraini Jalaludin dilantik sebagai wakil kementerian.

“Turut dilantik adalah Shakib Ahmad Shakir selaku pemangku Ketua Pengarah FINAS dan Fairul Azida Shahabudin sebagai pemangku Timbalan Ketua Pengarah,” katanya, hari ini.

Menurut Gobind, lembaga turut melantik ahli-ahli yang berpengalaman dalam industri sebagai panel penasihat antaranya Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Bront Palarae, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee dan Adrian Teh.

Katanya, semua pelantikan itu selaras dengan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia 1981.

Berita Harian X