Rabu, 20 Februari 2019 | 12:55pm
Jurey (dua dari kanan) dan barisan kepemimpinan PTVM mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi mengemukakan beberapa usul dan permasalahan industri seni di Putrajaya, baru-baru ini. Foto Ihsan PTVN

Eksklusif: Siri 1 Isu Pemilikan Harta Intelek dan Hak Cipta Produksi Tempatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mahu kerajaan mengkaji semula tempoh pemilikan harta intelek dan hak cipta karya terbitan rumah produksi tempatan yang diberi kepada stesen televisyen (TV) sejak hampir sedekad lalu.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, sudah tiba masanya hak siaran perlu diberi semula kepada penerbit swasta selepas dua tahun produk dijual kepada penyiar untuk digunakan bagi menjana pendapatan.

“Sebelum ini, hak siaran bagi penerbitan RTM sebelum 2010 adalah di bawah penerbit asal. Tetapi selepas itu, RTM mengikut jejak stesen TV swasta dengan meletak syarat untuk semua hak cipta.

“Melalui syarat itu, semua bahan terbitan termasuk drama atau drama bersiri dimiliki sepenuhnya stesen televisyen (TV) selaku pembeli manakala produser tidak ada pegangan lagi.

“Kami harap kerajaan dapat memperhalusi situasi ini bagi membantu penerbit tempatan mendapatkan semula produk mereka. Ini dapat menjana keuntungan bagi menghasilkan kandungan kreatif lain,” katanya kepada BH Online.

Jurey dan ahli jawatan kuasa PTVM bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, baru-baru ini, bagi menyampaikan beberapa cadangan kepada kerajaan berhubung kemelut dihadapi industri seni.

Ditubuhkan pada 2008, PTVM dianggotai syarikat penerbitan drama serta program TV tempatan. Persatuan ini bermatlamat menjadi landasan bagi semua syarikat produksi dan pembekal program TV mencapai kesepakatan meningkatkan karya bermutu.

Antara isu lain yang menjadi topik pada perjumpaan lebih sejam itu adalah membincangkan keadaan industri penerbitan TV semasa, cadangan penambahbaikan dan misi PTVM dalam menyediakan program terbaik.

Jurey berkata, pihaknya berbesar hati Dr Mahathir menunjukkan keprihatinan terhadap industri penyiaran yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Antara perincian lain sudah tentu masa depan industri kreatif yang memerlukan sokongan daripada pelbagai sudut dalam memantapkan lagi industri ini.

“Dulu di bawah kepimpinan Dr Mahathir, sudah diwujudkan konsortium untuk pemberian peruntukan jam kepada rumah produksi supaya mampu merancang perkembangan.

“Kami harap, penubuhan konsortium itu direalisasikan semula bagi memberi ruang kepada semua penerbit untuk mendapat peluang sama rata sekali gus menghasilkan produk lebih bermutu,” katanya.

PTVM yang menjadi suara semua ahli turut menyampaikan keluhan penggiat industri kreatif mengenai ketiadaan peruntukan dalam peruntukan kewangan negara selepas Bajet 2019 dibentangkan.

Gagal mendapat peruntukan untuk tiga tahun berturut-turut, Jurey berkata, industri kreatif seolah dilupakan sedangkan penggeraknya memberi sumbangan kepada negara.

“Seperti penggiat lain, kami juga mahu mengembangkan skil diri dan meningkatkan kualiti penerbitan melalui pelbagai latihan dan program penyelidikan.

“Sudah pasti peruntukan dalam Bajet negara menjadi antara perkara yang ditunggu-tunggu. Ini kerana daripada situ kami berpeluang mendapatkan latihan atau belajar teknologi baharu sekali gus membantu menaik taraf industri ini ke tahap lebih baik.

“Selain itu, soal kadar harga pembelian kandungan TV juga perlu diberi perhatian apabila sudah beberapa tahun kadarnya tidak berganjak.

“Jika harga masih di takuk lama, bermakna tiada kenaikan bayaran untuk semua yang terbabit dalam produksi terutama mereka yang bekerja di belakang tabir,” katanya.

PTVM turut meminta insentif pengecualian cukai kepada syarikat korporat yang menaja program dipertimbangkan untuk membolehkan banyak lagi syarikat menyokong industri ini.

Satu lagi saranan adalah mengehadkan pengeluaran lesen penerbitan TV bagi memastikan hanya syarikat yang berdaya saing dan berkemampuan diberi kontrak.

Tidak ketinggalan, kajian terhadap syarat patuh syariah dikenakan bagi mendapatkan pinjaman bank atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Jurey berkata, drama yang gagal memenuhi syarat patuh syariah daripada bank tidak akan mendapat pinjaman, bukannya stesen TV yang mengenakan syarat sedemikian.

Berita Harian X