Khamis, 14 March 2019 | 5:21pm
Norman menganggp pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS adalah tepat berdasarkan latar belakangnya. Foto NSTP Syarafiq Abd Samad

Pelantikan Ahmad Idham buka lembaran baharu

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Presiden PFM, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pemilihan Ahmad Idham menerajui FINAS adalah tepat mengambil kira pengalaman, pengetahuan dan kesungguhan dirinya membangunkan industri perfileman negara.

“PFM akan memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada Ahmad Idham dan tenaga pengurusan FINAS demi memacu era baharu industri perfileman tempatan.

“Semoga pelantikan ini akan membuka lembaran baharu bagi warga industri perfileman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan media, pagi ini.

Gobind berkata, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, adalah bagi tempoh dua tahun.

Gobind menyebut, Ahmad Idham yang memiliki ijazah sarjana muda perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam industri kreatif selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Berita Harian X