Jumaat, 12 April 2019 | 9:31pm
PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi. - Foto Aziah Azmee

KWSP, PERKESO artis: Persatuan seni sedia beri kerjasama

KUALA LUMPUR: Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk penggiat seni sememangnya isu yang sudah lama diperjuangkan kebanyakan persatuan hiburan.

Justeru, pengumuman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk melaksanakan kedua-dua skim berkenaan menerusi Pengerusinya, Datuk Gerald Hans Isaac, semalam, sesuatu yang dinantikan pemain industri.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata persatuan terbabit yang sekian lama memperjuangkan hak ahli mendapatkan kedua-dua caruman sedia bekerjasama dengan FINAS andai diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja mereka.

“Paling penting di sini adalah penggubalan akta kerana dari situ, kerajaan dapat memastikan setiap pemain industri, terutama majikan yang terdiri daripada syarikat produksi mahu pun stesen TV, mematuhi dan menunaikan kewajipan mencarum untuk semua pekerja penerbitan.

“SENIMAN sendiri sudah berusaha ke arah itu sejak 2012, namun tanpa penggubalan akta khusus dalam menjaga kebajikan penggiat seni lakon, pasti mereka berdepan kedegilan sesetengah pihak memandangkan ia belum tertakluk di bawah undang-undang.

“Sewajarnya, kerajaan serius menggubal akta untuk anak seni terlebih dahulu kerana hanya menerusi undang-undang majikan atau produser yang culas bakal berdepan tindakan, sedangkan dunia penerbitan sendiri sudah dianggap industri dengan menyumbang 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada BH Online.

Buat sementara waktu, katanya, SENIMAN menggalakkan setiap ahlinya membuat caruman sendiri terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, usaha mewajibkan pihak majikan membuat potongan di pihak mereka adalah sesuatu yang sangat kami tunggu-tunggu,” katanya.

Semalam, Hans memaklumkan caruman KWSP dan PERKESO bukan sekadar bakal menjamin masa depan pelakon, tetapi juga kru produksi termasuklah jurusolek, ‘runner’, pemandu serta penjaga busana yang siang malam mengerah kudrat.

Pengenalan skim terbabit dikatakan satu daripada 15 manifesto yang dirangka oleh beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang baru sebulan memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), berpendapat inisiatif disuarakan oleh Hans sebagai perkhabaran baik untuk industri.


PENGARAH Urusan KRU Studios yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim. - Foto Syarafiq Abd Samad

Katanya, saranan oleh pengerusi baharu FINAS itu harus dilaksanakan secara berperingkat dan perlu melalui kajian secara menyeluruh.

“Pertama sekali, inisiatif yang dicadangkan adalah sesuatu yang baik untuk industri, namun perlu dilaksanakan secara berperingkat. Saya berkata demikian kerana kebanyakan penerbit mengeluarkan modal sendiri dan perlu memperuntukkan bajet tambahan bagi membolehkan caruman dibuat, khas untuk kebajikan penggiat seni bebas.

“Pelbagai aspek perlu diambil kira untuk disesuaikan dengan realiti pasaran sekarang. Pada pandangan saya, adalah wajar untuk membincangkan dasar ini bersama pemegang kepentingan yang lain kerana ia membabitkan banyak pihak.

“Penerima kedua-dua skim itu terbahagi kepada dua kelompok, iaitu pelakon utama dan penggiat seni bebas yang dilihat lebih memerlukan peruntukan ini. Selain penerbit yang perlu bersedia untuk menyediakan bajet tambahan, penerima itu juga harus menerima hakikat sejumlah wang mereka juga perlu dipotong,” kata Norman.

Berita Harian X