Selasa, 28 Mei 2019 | 11:06pm

Dahlan Zainuddin meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Selepas empat hari koma, penyanyi era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang, pada jam 9.48 malam ini.

Isterinya, Datin Effa Rizan memberitahu, beliau dan anak-anak berada di sisi Allahyarham sehingga detik terakhir.

“Allahyarham pergi di hadapan saya dan anak-anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, selepas solat zohor, esok," katanya kepada BH Online.

Selain Effa, Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Natasha Idha, Mohd Danial dan Nur Athinia Ines.

Allahyarham pernah bertugas di Jabatan Pemasaran dan Pengiklanan, The New Straits Times Press Berhad pada 1977. Allahyarham aktif dalam pasukan bola sepak NSTP, termasuk menjadi jurulatih sejak mula bekerja hingga era 1980-an.

Effa berkata, selain beliau dan anak-anak, teman rapat Allahyarham seperti Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave turut berada di hospital.

Sebelum ini, BH Online melaporkan Dahlan yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan, koma selepas diserang angin ahmar, Sabtu lalu.

Mengimbas detik cemas itu, Effa dilaporkan berkata, beliau dan suaminya sedang asyik berbual sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Allahyarham agak stabil, malah masih mampu memenuhi undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim.

Empat tahun lalu, Dahlan pernah diserang strok yang mengakibatkan lumpuh sebelah kiri. Pada kejadian terbaru, Allahyarham diserang buat kali kedua di bahagian kanan pula ketika menanti waktu berbuka puasa.

Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang, pada jam 9.48 malam ini.
Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang, pada jam 9.48 malam ini.
Berita Harian X