Ahad, 16 Jun 2019 | 9:00am
PENYANYI Indonesia, Tulus, akan mengadakan konsert keduanya di Malaysia, Ogos depan. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tulus bakal kembali hibur peminat di ibu negara

KUALA LUMPUR: Meraikan usia lapan tahun pembabitan dalam seni, penyanyi dari Indonesia, Tulus, akan kembali menghiburkan peminatnya di sini, 3 Ogos depan.

Jika konsert pertamanya di Malaysia diadakan di Istana Budaya, September tahun lalu, kali ini artis itu memilih Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai gelanggang persembahan.

“Saya amat selesa berada di Malaysia, malah boleh menjadikan negara ini sebagai tempat tinggal. Bukan sahaja ia dekat di hati, saya juga ‘ketagih’ nasi ayam.

“Ikut perancangan, saya akan berada di Malaysia lebih lama, kali ini. Saya memang teruja untuk mengadakan persembahan dan menghiburkan peminat di sana, Ogos depan,” katanya.

Bakal berlangsung selama dua jam mulai 8.30 malam, konsert jelajah Tulus Sewindu Tour - Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd dan TulusCompany.

Pada konsert berkenaan, penyanyi berusia 31 tahun dari Bukittinggi, Sumatera itu dijangka menyampaikan lagu popularnya seperti Gajah, Pamit, Sewindu, Monokrom dan banyak lagi.

Persembahan artis yang sehingga kini memilik tiga album studio terbabit akan diiringi oleh 21 pemuzik.

Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan berhibur bersamanya, mereka boleh mendapatkan tiket yang dijual pada harga RM160 hingga RM860 di www.myticket.asia.

Berita Harian X