Jumaat, 2 Ogos 2019 | 6:17pm
JURUSOLEK terkenal yang juga pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Alha Alfa, akan menjayakan tutorial solekan di pentas utama siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, Johor Bahru, esok. - Foto NSTP

Tips solekan Alha Alfa, kempen DuitNow bersama artis ABPBH 32 di JB

KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena siri jelajah pertama Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) di Komtar JBCC, Johor Bahru, esok.

Bermula seawal jam 10 pagi, ruang legar utama pusat beli-belah terkemuka itu bakal dimeriahkan dengan bermacam-macam agenda yang disusun khas untuk peminat dan pengunjung.

Selain kemunculan artis yang juga calon awal ABPBH 32, pentas utama siri jelajah juga akan menyaksikan pengasas Alha Alfa Cosmetics Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha Alfa, selaku penaja utama, berkongsi petua solekan terkini.

Bakal tampil di pentas mengadakan tutorial solekan pada jam 1 tengah hari, beliau yang juga jurusolek terkenal akan turut berinteraksi bersama orang ramai menerusi sesi soal jawab pada siri jelajah kali ini.

Justeru, bagi mereka yang ingin mempelajari teknik terkini dalam solekan, serta mendapatkan produk terbaru syarikat itu, Alha dan pasukan jenama kosmetik terkemuka berkenaan setia menunggu kehadiran anda di sana.

Di samping tutorial solekan, siri jelajah ABPBH 32, esok, juga akan menyaksikan penganjur dan penaja anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu menjayakan pelbagai kempen.


PEMINAT boleh menggandakan undian untuk calon pilihan mereka menerusi langganan BH Digital dengan kerjasama DuitNow. - Foto NSTP

Ia termasuk kempen undian dan langganan BH Digital dengan kerjasama DuitNow yang memberikan peluang kepada peminat mendapatkan tiket menyaksikan malam kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 22 September depan.

Mulai jam 2 petang pula, artis popular seperti Emma Maembong, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Ryan Deedat, Ara Johari dan Kanda Khairul akan menghangatkan pentas utama dengan aksi dan nyanyian masing-masing.

Selain mereka, turut menjayakan siri jelajah kali ini ialah Muna Shahirah, One Avenue Band, Tuah, Haiza, DJ Lin, Adam Lee, Uchop dan Erwin Dawson.

Berita Harian X