JOHOR BAHRU: Tiket istimewa menyaksikan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) antara tarikan menanti peminat pada siri jelajah pertama acara itu di Komtar JBCC, di sini, hari ini.
Hadiah berkenaan boleh dimenangi menerusi kempen undian dan langganan BH Digital dengan kerjasama DuitNow.
Bukan sekadar tiket malam kemuncak, pelbagai hadiah lain turut disediakan penaja utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics Sdn Bhd.
Pengasas jenama terkenal itu yang juga jurusolek terkenal, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha Alfa sendiri tidak ketinggalan berkongsi petua solekan terkini.
Bakal tampil di pentas mengadakan tutorial solekan, kira-kira jam 1 tengah hari, beliau juga akan berinteraksi bersama orang ramai menerusi sesi soal jawab pada siri jelajah kali ini.
Justeru, bagi mereka yang ingin mempelajari teknik dan rahsia terkini dalam solekan, serta mendapatkan produk terbaru syarikat itu, Alha dan pasukan jenama kosmetik terkemuka berkenaan setia menunggu kehadiran anda di sana.
Selain aktiviti disediakan penganjur dan penaja, peminat juga pastinya ternanti-nantikan kemunculan bintang kesayangan masing-masing yang juga calon awal ABPBH 32.
Segmen persembahan artis dijangka bermula jam 2 petang dan ia menampilkan Emma Maembong, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Ryan Deedat, Ara Johari, Kanda Khairul, Muna Shahirah, One Avenue Band, Tuah, Haiza, DJ Lin, Adam Lee, Uchop dan Erwin Dawson.
Pagi ini, rombongan artis dan penganjur menjalankan misi tanggungjawab sosial korporat dengan melawat artis era 1990-an, Aida Agil, di PPR Sri Stulang, di sini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Segalanya Pasti itu pernah jatuh sakit pada Jun 2001 dan kesannya masih terasa sehingga kini. Beliau pernah menghidap penyakit ganjil, Bell's Palsy, iaitu kelumpuhan muka disebabkan saraf tidak berfungsi.
Selepas Johor Bahru, siri jelajah ABPBH 32 akan diteruskan di Alor Setar, Kedah, pada 24 Ogos depan. Ia disusuli acara santai bersama kelab peminat, #FANtastik dan showcase istimewa di Eco Grandeur, Puncak Alam, pada 14 September depan.