Isnin, 26 Ogos 2019 | 2:42pm
Hans Isaac memaklumkan, FINAS bakal melaksanakan skim KWSP dan PERKESO untuk penggiat seni bermula 1 Januari depan. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

KWSP, PERKESO untuk penggiat seni dilaksana bermula 1 Januari

HULU KLANG: Kira-kira 30,000 penggiat seni bakal menerima manfaat skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bermula 1 Januari depan.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata pihaknya yakin usaha itu dapat direalisasikan berikutan kewujudan akta FINAS sedia ada yang mewajibkan penerbit, selaku majikan membuat caruman untuk pekerja masing-masing.

“Setakat ini, proses ke arah mewajibkan skim KWSP dan PERKESO dalam kalangan anak seni sudah 90 peratus disempurnakan, malah lebih mudah kerana terdapat satu akta di bawah Akta FINAS 1981 (Akta 244) yang membenarkan ia direalisasikan.

“Usaha ini turut mendapat sokongan stesen televisyen sebagai penyiar kerana bahagian caruman majikan iaitu penerbit, sudah dimasukkan dalam bayaran keseluruhan produksi yang dihasilkan.

“Produser tiada lagi alasan untuk tidak menjalankan kewajipan mereka selaku majikan,” katanya selepas ditemui pada majlis sesi dialog FINAS bersama penggiat seni di Kompleks Studio Merdeka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan barisan Ahli Lembaga Pengarah FINAS.

Dalam sesi selama tiga jam itu, seramai 300 wakil persatuan, karyawan dan artis berpeluang mengutarakan cadangan serta pertanyaan berhubung pelbagai isu dalam industri hiburan.

Sementara itu, menyentuh mekanisme caruman majikan dan kaedah implimentasi kedua-dua skim terbabit, Hans berkata, ia diwajibkan mengikut jumlah gaji minimum semasa iaitu RM1,100.

“Mekanisme pemotongan caruman masih diperincikan, memandangkan tempoh bekerja dan bayaran pekerja produksi seperti pelakon, kru, jurusolek serta jurugegas umpamanya, berbeza daripada pekerjaan lain.

“Walaupun seseorang kru mungkin hanya bekerja empat atau lima hari dengan sesebuah produksi, jika upah diterima mencecah RM1,100, syarikat produksi boleh melakukan caruman.

“Bagi PERKESO pula, selagi penggiat seni bekerja di bawah produksi, termasuk projek yang hanya mengambil masa beberapa hari, penerbit wajib mencarum,” katanya.

Menurut Hans, pelancaran skim itu dijangka dilakukan pada Oktober ini, sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Januari depan.

Terdahulu, skim KWSP dan PERKESO antara 15 manifesto penting dalam pelan pembentangan Hans sebaik dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada 8 April lalu.

Inisiatif itu diberi penekanan bagi memastikan kebajikan pemain industri seni tanah air terbela.

Tambah Hans lagi, FINAS boleh menarik balik Sijil Perakuan Penggambaran Filem sekiranya penerbit berdegil daripada mencarum bahagian mereka.

Berita Harian X