Rabu, 4 September 2019 | 8:22pm
TIMBALAN Pengarah Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Khairuan Abdul (berdiri, enam dari kanan), bersama wakil penganjur, penaja dan artis pada sidang media malam kemuncak ABPBH 32 di Balai Berita. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

DuitNow janji ganjaran kejutan pada acara #FANtastik

KUALA LUMPUR: Penaja bersama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, DuitNow, menjanjikan kejutan buat pengunjung program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor, 14 September ini.

Timbalan Pengarah Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Khairuan Abdul, berkata kejutan berbentuk ganjaran itu adalah hadiah buat pengguna yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perkhidmatan disediakan mereka.

“Pada siri jelajah di Aman Central, Alor Setar, baru-baru ini, DuitNow memberikan dua iPad mini kepada pemenang bertuah yang menggunakan DuitNow bagi melanggan BH Digital, seterusnya menggandakan undian.

“Apa yang pasti, pada acara promosi di Puncak Alam nanti, kami akan membuat kejutan dari segi ganjaran. Hadiah hanya akan diumumkan pada hari itu dan ia juga terbuka kepada pelanggan, pengunjung dan kelab peminat yang memeriahkan acara.

“Kami menyediakan hadiah terbabit bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan perbankan internet seperti ditawarkan DuitNow,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 32 di Balai Berita, di sini, hari ini.

Selain tarikan dua iPad mini, sebelum ini mereka turut mengumumkan ganjaran pakej percutian ke Korea Selatan, makan malam bersama pemenang kategori Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular DuitNow serta cabutan bertuah hadiah wang tunai RM50 untuk 30 orang, untuk pengguna bertuah.

Mengenai pakej percutian ke Korea Selatan seperti dijanjikan, Khairuan yakin pemenang terpilih akan menikmati pengalaman menyeronokkan ketika berada di negara yang terkenal dengan budaya K-pop itu.


KHAIRUAN ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media malam kemuncak ABPBH 32 di Balai Berita. - NSTP

“Selain tiket penerbangan dan tempat penginapan, kami juga akan menyediakan wang saku untuk mereka sebagai perbelanjaan sepanjang di sana. Malah, kami juga merancang pelbagai aktiviti menarik untuk pemenang bertuah,” katanya.

Berita Harian X