Ahad, 15 September 2019 | 12:25am
ANTARA peminat yang memeriahkan acara #Fantastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Asyraf Hamzah

Persembahan calon Top 5 pukau peminat

PUNCAK ALAM: Dari siang membawa ke malam, acara santai #FANtastik dan Showcase Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Eco Grandeur, di sini, terus menyaksikan peminat setia mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun.

Jika pada sebelah siang mereka dihiburkan dengan aksi menarik peserta pertandingan seperti zumba, cabaran makan ramen, tiru gaya artis, solekan dan kerusi berirama, sebentar tadi masing-masing dihiburkan pula oleh persembahan calon Top 5 ABPBH 32.

PENYANYI, Afieq Shazwan, membuka tirai persembahan acara Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Acara persembahan di pentas utama bermula dengan kemunculan calon Artis Baharu Lelaki Popular, Afieq Shazwan, yang membuka gelanggang dengan lagu popularnya, Seandainya dan Darjat.

Kehangatan malam kemudian diteruskan dengan persembahan penyanyi bervokal padu, Aina Abdul, yang memukau peminat dengan lagu, Shadow dan Sumpah.

Tidak ketinggalan memeriahkan acara ialah artis pelbagai bakat, Mark Adam, bersama lagu, Amnesia, manakala Izzue Islam pula mengalunkan Sahabat dan karya yang dirakam bagi meraikan bulan kemerdekaan serta sambutan Hari Malaysia, This Is Malaysia.

PENYANYI, Mark Adam, tidak ketinggalan memeriahkan acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. -NSTP/Mahzir Mat Isa

Seorang lagi calon Artis Baharu Lelaki Popular, Ryan Deedat, menghangatkan suasana dengan lagu baharunya, Jika Memang Harus dan Cinta Luar Biasa.

Acara showcase bertambah panas dengan kemunculan Insomniacks, iaitu calon Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Mereka memilih Selalu dan Pulang serta lagu dendangan band Hujan, Kotak Hati, untuk mempesonakan peminat yang hadir.

Enggan mengaku kalah, kumpulan Floor 88 tampil di pentas mendendangkan medley lagu popular mereka iaitu Zalikha dan Aqilah, selain Jampi (Hael Husaini) dan single terbaru, Hutang.

Bagi menghangatkan lagi suasana, vokalis kumpulan itu, Ayie, mengundang teman artis lain saat mendendangkan lagu Hutang.

Mereka turut membuat kejutan dengan mempersembahkan Roadblock Hatiku bersama Bintang Paling Popular ABPBH edisi lalu, Wany Hasrita. Walaupun tanpa dirancang, nyanyian mereka tetap membuatkan peminat terhibur.

Wany yang turut berusaha mengekalkan trofi kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow kemudian mendendangkan lagunya yang kian mendapat tempat di hati penggemar muzik, Terlalu Memuja.

PEMINAT yang tidak melepaskan peluang menonton Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Asyraf Hamzah

Dia juga tidak ketinggalan menyanyikan single duetnya bersama Datuk Jamal Abdillah, Belenggu Rindu. Cuma, kali ini Wany memilih untuk berpadu suara dengan peminat.

Khai Bahar yang bergegas terbang dari Singapura juga enggan melepaskan peluang mendekati peminat apabila tampil menghadiahkan lagu Andai Dapat Ku Undur Masa (dendangan asal Axls), Bayang dan Menyesal, untuk mereka.

Calon Top 5 lain seperti Iswan Ismail, Adam Lee, Atiq Azman, Muaz, Haziq dan Haneesya Hanee turut naik ke pentas memeriahkan acara selingan.

EMCEE Fuzz dan Haiza selaku hos Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sebelum tirai showcase dilabuhkan, pengacara, Haiza dan Emcee Fuzz, mengundang semua artis ke pentas untuk menyampaikan lagu Malaysia Berjaya bagi membangkitkan lagi semangat menyambut Hari Malaysia.

Berita Harian X