Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:44pm
Kru dan petugas belakang tabir yang dikatakan berada dalam kumpulan ‘miskin bandar’ tidak mampu mencarum untuk KWSP. Gambar Hiasan. Foto NSTP

Kru 'miskin bandar' tak mampu carum KWSP

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PPPFM) mahu kerajaan memperluaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kalangan majikan kru dan petugas industri seperti yang diperjuangkan selama ini.

Presidennya, Khir Mohd Noor berkata, caruman KWSP dalam kalangan pekerja kontrak sudah lama dipraktikkan terutama individu berkemampuan secara sukarela.

“Hanya pekerja yang meraih pendapatan mencukupi mampu membuat caruman KWSP. Sedangkan, mengikut penelitian kami, ramai lagi petugas belakang tabir tidak mampu berbuat demikian.

“Ini kerana rata-rata daripada mereka berada dalam kategori miskin bandar.

“Isu yang diperjuangkan sekarang adalah tanggungjawab majikan untuk mencarum bahagian mereka seperti majikan dalam sektor pekerjaan lain yang menjaga kebajikan tenaga kerja,” katanya kepada BH Online.

Khir mengulas pembentangan Belanjawan 2020 yang antara lain menyebut KWSP akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan dan profesional.

Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum diperluaskan kepada sektor lain.

Khir berkata, saranan caruman KWSP diperluaskan kepada majikan kru dan petugas industri dapat menentukan tangga gaji tenaga kerja sektor kreatif terutama dalam produksi drama dan filem.

“Kami lihat apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 hanya memberi faedah kepada majikan apabila tidak perlu mencarum untuk pekerja,” katanya.

Selain itu, katanya, semakan semula kadar bayaran produk untuk siaran televisyen (TV) yang masih di takuk lama juga perlu diambil.

“Jika bayaran dinaikkan, upah pekerja dapat ditambah. Dari situ, dapatlah kru dan petugas industri mencarum kepada KWSP,” katanya.

Sebelum ini, FINAS mengumumkan 30,000 penggiat seni bakal menerima manfaat skim caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula 1 Januari depan.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, dilaporkan berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat direalisasikan berikutan kewujudan Akta FINAS yang mewajibkan penerbit, selaku majikan, membuat caruman untuk pekerja masing-masing.

Menurutnya, proses mewajibkan skim KWSP dan PERKESO sudah 90 peratus disempurnakan, malah lebih mudah kerana ada akta di bawah Akta FINAS 1981 (Akta 244) yang membenarkan inisiatif itu diambil.

Berita Harian X