Jumaat, 25 Oktober 2019 | 2:00pm
KUMPULAN tersohor Jepun, Loudness, akan kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Konsert Loudness, Rise to Glory Tour: Malaysia 2019 di ibu negara, 10 November depan. - Foto Facebook Loudness

Loudness bakal gegar KL

KUALA LUMPUR: Kumpulan heavy metal terkemuka Jepun, Loudness, akan kembali menghiburkan peminat di negara ini menerusi konsert yang bakal berlangsung di The Bee, Publika, di sini, pada 10 November depan.

Konsert Loudness, Rise to Glory Tour: Malaysia 2019 itu adalah sebahagian daripada siri jelajah bagi mempromosi album terbaru kumpulan legenda terbabit, Rise To Glory.

Selain lagu daripada album terkini, kumpulan dianggotai oleh Akira Takasaki (pemain gitar), Minoru Niihara (vokal), Masayoshi Yamashita (gitar / bes) dan Masayuki Suzuki (dram) itu juga akan mempersembahkan dendangan popular petikan album terdahulu mereka seperti Thunder in the East, Lightning Strike, Hurricane Eyes dan Spiritual Canoe.

Antara lagu popular kumpulan terbabit yang masih menjadi siulan peminat termasuk Loudness, Black Wall, Let It Go, Rock & Roll Gypsy, So Lonely, Rock This Way dan Soldier Of Fortune.

Sepanjang hampir empat dekad dalam arena muzik, Loudness beberapa kali menembusi carta Billboard Amerika Syarikat, selain mencipta sejarah menjadi artis Jepun pertama menggamatkan arena berprestij antarabangsa, Madison Square Garden, New York.

Dua tahun lalu, kuartet berkenaan menghiburkan peminat mereka di sini menerusi konsert Sound Valley Festival 2017 yang berlangsung di Serdang, Selangor.

Konsert Loudness, Rise to Glory Tour: Malaysia 2019 ini dibawakan oleh Live Nation selaku ejen rasmi konsert.

Maklumat mengenai penjualan tiket boleh didapati dengan melayari www.galactix.asia/loudnessKL.

Berita Harian X