Ahad, 27 Oktober 2019 | 5:21pm

Pitt Hanif ditemui lemas

KUANTAN: Selepas kira-kira 30 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengarah filem, Mohd Firdaus Mohd Hanif atau Pitt Hanif ditemui lemas jam 4.25 petang tadi.

Mangsa yang berusia 43 tahun ialah anak pelakon veteran tanah air, Fauziah Nawi, dilaporkan hilang petang semalam ketika memancing berhampiran Jambatan Gemunchur, Kampung Mela, dekat Lipis.

Bot dinaiki mangsa bersama seorang rakannya dikatakan terputus dua mengakibatkan mangsa dibawa arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad, berkata mangsa ditemui sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh.


Anggota bomba mengangkat jenazah Pitt Haniff yang ditemui lemas ketika memancing di Sungai Mela, Lipis. - Ihsan Bomba

Mayat Pitt Haniff ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang di Sungai Mela. - Ihsan pembaca

Operasi mencari dan menyelamat Pitt Haniff di Sungai Mela. - Ihsan Bomba

“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang oleh pegawai dan anggota PPDA dan dengan penemuan ini, semua operasi SAR ditamatkan.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung yang memberikan bantuan dan kerjasama sepanjang operasi SAR dilaksanakan sejak petang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, jenazah dihantar ke Hospital Lipis bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.


Fauziah mengesahkan anaknya, Firdaus ditemui lemas menerusi Facebook Live, sebentar tadi.

Sementara itu, Fauziah Nawi menerusi siaran langsung di Facebook berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan berusaha mencari anaknya.

“Saya dimaklumkan jenazah ditemui dalam keadaan yang sangat elok. Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Mohd Fauzi Nawi yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.

Mohd Firdaus ditemui lemas di Sungai Jelai, dekat Kampung Mela, Lipis, hari ini.
Gambar terakhir Pitt Haniff (kanan) bersama rakannya, Sham Mokhtar ketika memancing di Sungai Mela. - Ihsan pembaca
Farah Ahmad isteri kepada Pitt Hanif mengaminkan doa ketika gerakan operasi mencari dan menyelamat di Kampung Mela, hari ini. - Foto Azim Fitri
Berita Harian X