Sabtu, 2 November 2019 | 4:46pm
BINTANG utama Sangkar, dari kiri, Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah ketika menghadiri acara tayangan filem berkenaan di Mutiara Damansara. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Penerbit Sangkar buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Kedegilan beberapa individu memuat turun dan berkongsi secara haram filem Sangkar di laman sesawang serta media sosial mengundang padah apabila penerbitnya membuat laporan polis, semalam.

Empat syarikat produksi yang bergabung menerbitkan filem aksi seni bela diri itu, Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment, sepakat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Penerbit Eksekutif Primeworks Studios, Nor Shahila Harun Shah, berkata laporan itu dibuat untuk memberikan peringatan, muat turun secara haram adalah perbuatan cetak rompak dan satu jenayah.

“Tujuan kami untuk memaklumkan, apa yang mereka lakukan adalah perbuatan jenayah dan ia juga perkara tidak bermoral dari segi etika.


PENERBIT Eksekutif Primeworks Studios, Nor Shahila Harun Shah. - NSTP/Aziah Azmee

“Bagi sesiapa yang ternampak atau terjumpa Sangkar di mana-mana laman sesawang, usah bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab terbabit. Elakkan daripada menontonnya dan jangan pula dimuat turun lagi.

“Sekiranya masih ada, abaikan sahaja atau laporkan kepada pihak berkenaan,” katanya yang membuat laporan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini.

Hadir sama, Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.


PENGARAH, Kabir Bhatia, bintang utama, Zul Ariffin, dan tenaga kerja Sangkar ketika di lokasi filem berkenaan, Jun tahun lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Filem arahan Kabir Bhatia itu mencatat kutipan RM10.3 juta dalam tempoh 17 hari ia ditayangkan di pawagam, bermula 29 Ogos lalu.

Selain Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah sebagai teraju utama, atlet profesional MMA, James ‘Sledgehammer’ McSweeney, turut ditampilkan dalam filem itu.

Berita Harian X