Jumaat, 15 November 2019 | 11:31pm
DRAMA Band menjuarai lagu terbaik pada separuh akhir pertama Muzik-Muzik 34 di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - NSTP/Saddam Yusoff

Drama lagu terbaik minggu pertama SFMM34

SHAH ALAM: Drama ciptaan Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib nyanyian Drama Band dipilih sebagai lagu terbaik minggu pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34).

Ia mengetepikan sepuluh lagu lain yang turut berentap pada pertandingan diadakan di Sri Pentas 2, di sini, malam tadi.

Lagu lain yang dipertandingkan minggu ini ialah Paku dendangan Ara Johari, Hatiku Milikmu (Siti Nordiana), Aku Yang Bersalah (Usop), 123 (Khai Bahar), Kepuraanmu (Luqman Faiz) dan Mencuba (Sufian Suhaimi).

DRAMA Band menjuarai lagu terbaik pada separuh akhir pertama Muzik-Muzik 34 di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - NSTP/Saddam Yusoff

Turut merebut peluang ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 ialah Terlalu Memuja (Wany Hasrita), Tiada Dirimu (Shila Amzah), Bidadari (Ismail Izzani) dan Satukan Rasa (Siti Nordiana dan Khai Bahar).

Setiap minggu, sebuah lagu akan dipilih sebagai karya terbaik, namun ia tidak memberi jaminan bakal mara ke AJL34 secara automatik.

Semua lagu bertanding dinilai oleh tujuh juri profesional yang diketuai oleh komposer terkenal, Azmeer.

Minggu kedua SFMM34 bakal diadakan pada 22 November dan ketiga, 29 November ini.

Penyanyi, Nora Ariffin dan Ramlah Ram, turut memeriahkan pentas SFMM34 dengan mempersembahkan tiga lagu, diiringi kumpulan Drama Band.

Peminat yang ingin hadir menyaksikan persembahan penyanyi kegemaran mereka, boleh mendapatkan tiket separuh akhir pada 20 dan 27 November, seawal 3 petang, di kaunter pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Selain itu, peminat juga boleh menikmati kemeriahan SFMM34 di www.tonton.com.my.

Berita Harian X