Selasa, 19 November 2019 | 7:27pm
AMANI mahu FINAS memberi fokus dan menyelesaikan pelbagai isu supaya nasib dan masa depan penggiat seni terbela. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Selesai dulu masalah industri filem tempatan - Sharifah Amani

PETALING JAYA: “Letihlah... Banyak lagi masalah industri perfileman yang perlu diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian”.

Demikian jawapan pelakon Sharifah Amani ketika ditanya mengenai saranan Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuk Netflix.

Amani berkata, kawalan terhadap isi kandungan digital seperti Netflix sudah sedia ada dalam platform penstriman itu dan ia terserah kepada individu terbabit untuk mengawasinya.

“Netflix sudah mempunyai tetapan untuk mengawal sendiri isi kandungan yang mahu ditonton. Jadi, kita mempunyai kuasa memilih program yang bersesuaian untuk tontonan.

“Jika susah sangat untuk dilakukan, jangan melanggan. Banyak lagi platform penstriman lain yang sesuai untuk tontonan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran sitkom Kopitiam: Double Shot, di sini, petang tadi.

Semalam, Idham menerusi Twitter menjelaskan, FINAS tiada kuasa menapis isi kandungan digital, sebaliknya hanya berusaha memperkasakan kandungan tempatan yang memberi impak positif.

Katanya, dia hanya mengajukan saranan kerjasama antara FINAS dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menganjurkan forum atau seminar bagi membincangkan isi kandungan cerita dalam talian yang tidak ditapis.

Idham berkata demikian sebagai penjelasan terhadap laporan media, kelmarin yang memetik kenyataannya supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuk Netflix.

Susulan kenyataan itu, ramai membidas dan mempertikai usul berkenaan.

Sementara itu, Amani berkata, sebagai penggiat seni yang sudah lama dalam industri, Idham sepatutnya mengutamakan isu lebih besar yang sedang menyelubungi industri hiburan tempatan.

Katanya, isu yang dibangkitkan itu tidak akan kemana-mana, apatah lagi, ia pernah diusulkan dahulu, terutama berkaitan kandungan program yang disiarkan menerusi televisyen.

“Isu ini pernah dibangkitkan dahulu, cuma ia kembali diperkatakan berdasarkan perkembangan semasa. Lebih baik FINAS cuba selesaikan masalah industri berkaitan royalti, bajet dan sebagainya.

“Saya buntu dan risau, apa akan jadi jika kita terus berada di takuk lama. Negara lain sudah maju, tetapi kita masih bercakap mengenai isu yang pada saya, remeh dan boleh diselesaikan sendiri masyarakat,” katanya.

Berita Harian X