Rabu, 20 November 2019 | 2:54pm

'Beri Idham peluang perjelas isu Netflix'

HULU KLANG: Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nazri berhubung cadangannya agar kandungan platform penstriman video, Netflix, ditapis hingga mencetuskan polemik, baru-baru ini.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, beliau mahu berlaku adil kepada Idham dan mendapatkan gambaran sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Lembaga Pengarah FINAS akan memanggil Idham dalam masa terdekat untuk beliau memberi penjelasan berhubung kenyataan itu... Ia mungkin pandangan peribadi beliau sahaja.

“Kita kena berlaku adil kepadanya. Beri Idham peluang untuk menceritakan perkara sebenar sebelum FINAS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Enggan mengelirukan orang ramai, Hans menegaskan, FINAS tidak akan sesekali bertindak di luar bidang kuasa yang sudah ditetapkan.

“FINAS tidak akan menjadi ‘polis’ untuk Netflix kerana ia boleh ditapis sendiri pengguna. Lagipun, tanggungjawab berkaitan tapisan filem terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Biarlah kami fokus dengan kerja dan hala tuju FINAS sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini, polemik tercetus apabila Ahmad Idham menggesa kerajaan menapis kandungan Netflix. Idham turut menyarankan kerajaan mewujudkan akta mengawal selia kandungan video yang disediakan platform digital berkenaan.

Namun, kenyataan Idham menerima pelbagai reaksi termasuk keterangan balas bagaimana pengguna boleh melakukan tapisan sendiri terhadap kandungan platform penstriman video berkenaan.

Hans ditemui selepas melancarkan program Kongres Sangga Artis Veteran 2019 di Pawagam Mini P Ramlee di FINAS, di sini, hari ini.

Dianjurkan FINAS dengan kerjasama Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), program itu antara lain membincangkan mengenai isu hak dan kebajikan artis veteran.

Program dua hari itu menampilkan ahli panel seperti Datuk Tarmimi Siregar, Jalil Hamid, Dr Norzizi Zulkifli, Mior Hashim Manaf dan wakil dari agensi kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Hans ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Sangga Artis Veteran 2019 di Pawagam Mini P Ramlee di FINAS, hari ini. Foto NSTP Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X