Rabu, 20 November 2019 | 5:11pm
AWAL dan Scha bergabung menjayakan program Misi Rumah Impian. - NSTP/Rosela Ismail

Awal, Scha ketepi prinsip demi Misi Rumah Impian

SEMENYIH: Biarpun pernah menyatakan pendirian untuk tidak digandingkan bersama, pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya berkorban mengetepikan prinsip itu apabila disatukan dalam drama pendek, Misi Rumah Impian.

Awal yang ditemui pada majlis pelancaran program itu berkata, mereka bersetuju menerima tawaran Primeworks Studio itu kerana ia tidak menuntut komitmen yang lama.

“Misi Rumah Impian hanya mempunyai empat episod dan setiap episod bersiaran selama 10 minit. Itu antara alasan mengapa saya dan Scha bersetuju menerima tawaran ini.

“Lagipun, dalam program ini, kami dipaparkan sebagai pasangan suami isteri muda yang sedang mencari rumah impian. Kami akan berkongsi pelbagai tip dalam pemilihan rumah.

“Walaupun hanya empat episod, banyak tip yang kami akan kongsikan dan secara tidak langsung, kami turut mendapat ilmu.

“Contohnya, apa patut dilakukan pasangan yang berkongsi pinjaman perumahan selepas memiliki kediaman yang diimpikan.

“Apabila berkongsi pinjaman perumahan, pasti idea untuk hiasan dalaman juga dilakukan bersama-sama supaya adil,” katanya.

Drama pendek itu mengisahkan pasangan suami isteri muda sedang mencari rumah impian dengan pemaju perumahan EcoWorld. Pelbagai tip memiliki rumah akan dikongsi mereka dalam program itu.

Penggambaran program itu diadakan di tiga lokasi milik pemaju perumahan, EcoWorld iaitu di Eco Grandeur, Puncak Alam dan Eco Majestic, Semenyih, Selangor serta Eco Tropics, Pasir Gudang, Johor.

AWAL dan Scha bersama (dari kiri) Kwee Hong, Farah, Crystal Lee, Ahmad Izham, Khim Wah dan Evon Yap pada majlis pelancaran program Misi Rumah Impian di EcoWorld Majestic, Semenyih. - NSTP/Rosela Ismail

Majlis pelancaran program Misi Rumah Impian disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Development Group Berhad, Datuk Chang Khim Wah.

Yang turut hadir, Pengurus Besar, Pasaran Kandungan Kreatif, Kumpulan Khidmat Pelanggan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Farah Shamsudin; Pengurus Besar, Kumpulan Khidmat Pelanggan MPB, Crystal Lee dan Pengurus Besar Bahagian, EcoWorld Development Group Berhad, Ho Kwee Hong.

Sementara itu, Scha pula berkata, dia meletakkan dirinya dalam watak yang dibawa sepanjang menjayakan penggambaran drama pendek itu.

Katanya, dia dan Awal mempunyai pendapat berbeza dalam banyak perkara, namun mereka sentiasa berkompromi untuk mencapai kata sepakat bagi memudahkan urusan.

“Jalan cerita drama ini sangat dekat dengan diri, malah saya yakin, ramai pasangan lain turut berhadapan masalah sama.

“Apa yang saya suka dan mahukan sering kali kontra dengan Awal. Apabila sering berbeza pendapat, kami akan berbincang untuk mencapai kata sepakat, tidak kira dalam soal pemilihan rumah, hiasan dalaman, perabot dan sebagainya,” kata Scha.

Misi Rumah Impian yang diarahkan Izuan Mokhtar akan menemui penonton setiap Rabu dan Khamis bermula 27 November ini, jam 9.50 malam di TV3.

Berita Harian X