Rabu, 27 November 2019 | 1:00pm
PENYANYI dan pelakon India, Diljit Dosanjh, akan menghiburkan peminatnya di Malaysia, bulan depan. - Foto Instagram Diljit Dosanjh

Diljit tak sabar nak hibur peminat Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang terkenal India, Diljit Dosanjh, 35, teruja untuk menghiburkan peminat di Malaysia buat julung kali, 13 Disember depan.

Pelakon, penyanyi dan personaliti televisyen terbabit berkata, sambutan hangat diberikan terhadap jualan tiket konsert yang bakal berlangsung di KL Live at Life Centre, di sini, lebih membuatkannya tidak sabar untuk beraksi di hadapan mereka.

“Saya memang sudah tidak sabar untuk bertemu dan menghiburkan peminat di Malaysia. Malah, saya sangat gembira apabila mendapat tahu tiket juga laris terjual.

“Saya tertunggu-tunggu untuk memberikan persembahan istimewa buat peminat di sana, termasuk irama bhangra yang menggegarkan. Semoga kunjungan sulung ke Malaysia akan meninggalkan kenangan manis buat semua,” katanya menerusi perbualan telefon pada sidang media persembahannya, di sini.

Pada konsert Bollyboom Diljit Live In Malaysia 2019 anjuran Hitman Solutions itu, artis terbabit akan mempersembahkan lebih 25 lagu popularnya. Diljit antara lain dikenali dengan lagu Do You Know, 5 Taara, Put Jatt Da dan Raat Di Gedi.

Diljit turut berharap dirinya berada dalam keadaan yang baik pada hari persembahannya nanti.

“Biarpun waktu agak terhad ketika di sana, saya tetap berharap dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin untuk meneroka apa yang ada di Kuala Lumpur,” katanya yang memulakan kerjaya seni pada 2004 menerusi album, Ishq Da Uda Ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Mr Rohit Rampal, yakin konsert terbabit membuahkan kejayaan.

“Melihat populariti dan pengaruhnya yang mempunyai berjuta-juta pengikut di seluruh negara, kami yakin Diljit mampu mencipta fenomena pada konsertnya di sini.

“Kami juga yakin lokasi acara yang boleh memuatkan antara 2,500 hingga 3,000 penonton mampu memuaskan hati peminatnya,” kata Rohit.

Diljit meraih 20 anugerah sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi dan tujuh lagi melalui lakonan. Dia memiliki 13 album dan 40 single, selain muncul dalam 21 filem Bollywood serta Punjabi.

Tiket menyaksikan persembahannya mula dijual pada 4 November lalu di www.myticket.asia.

Berita Harian X