Khamis, 28 November 2019 | 4:15pm
Hans berusaha menangani permasalahan industri perfileman satu persatu demi memenuhi amanah sebagai Pengerusi FINAS sejak April lalu. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kita selesaikan satu persatu - Hans Isaac

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac tidak kisah berdepan kritikan konon tidak melihat isu industri hiburan dalam konteks luas apabila mengumumkan perkara kecil yang dianggap memberi manfaat kepada kelompok tertentu sahaja.

Hans berkata, sebagai penggiat seni, dia faham perasaan rakan seperjuangan yang mahu melihat perubahan. Namun, tambahnya, setiap penyelesaian masalah atau isu memerlukan masa mengikut situasi, bukannya secara drastik.

“Banyak benda kita tak boleh buat dalam tempoh satu malam. Adakah isu mekap tidak penting? Kami memang ada berpuluh isu besar seperti dana perfileman, hak cipta, rebat cukai, kadar bayaran drama dan banyak lagi.

“Tetapi perkara besar ambil masa panjang. Macam isu mekap, mungkin orang nampak hanya beri manfaat kepada golongan itu sahaja.

“Kita selesaikan satu persatu... Selepas ini, siapa tahu ada perkara lain untuk kelompok pengarah dan penerbit pula. Begitu juga dengan pekerja seni lain,” katanya kepada BH Online.

Pada 20 November lalu, Hans mengumumkan mulai Januari 2020, semua stesen penyiaran tidak akan membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama dan telefilem terbitan mereka.

Beliau dilaporkan berkata, syarat baharu itu dikenakan bagi menjaga hak dan kebajikan artis veteran.

Hans berkata, isu seperti hak cipta dan dana filem misalnya, memerlukan tempoh panjang untuk diselesaikan iaitu antara lapan bulan hingga setahun.

“Sebenarnya, setiap hari kita berusaha membantu industri dan berharap selain kerjasama, berilah kepercayaan kepada kami,” katanya.

Mengenai komen konon dirinya tidak disukai ramai, Hans tidak melatah sebaliknya menganggap semua pihak berhak menyuarakan pandangan.

“Saya hormati pendapat itu kerana saya duduk di tempat ini (Pengerusi FINAS) bukan untuk disukai atau sekadar buat kerja perhubungan awam (PR).

“Saya ditugaskan untuk membantu industri. Kalau hendak senyum 24 jam pun susah sebab saya dan ahli perbadanan lain sudah terlebih kerja, tujuh hari seminggu.

“Saya minta maaf kalau saya nampak sombong sebab sekarang saya sedang berusaha mendapatkan hasil dan berjuang untuk industri... Itu saya janji.

“Bagi saya, komen begitu datang dari individu yang tak kenal saya, bukan orang industri,” katanya yang dilantik Pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun sejak 8 April lalu.

Berita Harian X