Jumaat, 29 November 2019 | 4:47pm
PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli. - NSTP/Asyraf Hamzah

Suara penerbit tempatan didengar - Jurey

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) kini mampu menarik nafas lega apabila perjuangan tegar menuntut kenaikan kadar bayaran RTM terhadap program kandungan kreatif swasta sudah menampakkan petanda positif.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Parlimen, baru-baru ini, mengenai kadar bayaran RTM untuk kandungan kreatif dinaikkan antara 20 hingga 50 peratus mengikut kategori membuktikan suara penerbit tempatan didengar.

Ulasnya lagi, walaupun perkara itu masih memerlukan kelulusan dewan, pengumuman berkaitan tuntutan terhadap peningkatan kadar bayaran yang ditunggu-tunggu hampir tiga dekad sudah menampakkan hasil.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memperjuangkan hal yang sama, termasuk RTM sendiri, dan persatuan lain yang sentiasa menyuarakan harapan mereka untuk memartabatkan industri kreatif di tempat sepatutnya.

“Ia sudah disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, namun kami tidak tahu peratusan peningkatan yang sebenar kerana beliau meminta RTM menaikkan antara 20 hingga 50 peratus.

“Walau berapa pun peningkatannya, cadangan terbabit memberi nafas baharu buat seluruh karyawan kerana andai RTM melaksanakannya, keseluruhan penggiat industri, termasuk kru, akan mendapat manfaat, terutama dari segi bayaran,” katanya.

Paling penting, ujarnya lagi, pertambahan kadar bayaran yang tidak berganjak dalam tempoh 25 hingga 30 tahun itu juga dapat menghasilkan produk lebih baik.

Katanya, perjuangan demi kebaikan ahli dan untuk kebaikan serta kemajuan industri penerbitan tempatan itu antara lain turut membabitkan isu Harta Intelek (IP), pembiayaan produksi termasuk isu patuh syariah, bajet tahunan negara, peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan pengeluaran lesen mereka yang tidak terkawal serta lain-lain.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan sejak dahulu, malah tahun ini gerakan ke arah penyelesaian isu yang diperjuangkan lebih dipergiatkan lagi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penaung PTVM sejak penubuhannya, kembali menjadi Perdana Menteri.

“Kali pertama PTVM bertemu Dr Mahathir pada Februari lalu, disusuli perjumpaan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya.

Menurut Jurey, hasil pertemuan itu, pihaknya melakukan pelbagai tindakan susulan dengan mengadakan perbincangan pada pelbagai peringkat termasuk bersama RTM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, selepas ini pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad, bagi membincangkan perkara sama.

“Jika kadar baharu ini dilaksanakan RTM, ia juga diharap dapat menarik perhatian stesen penyiar lain supaya berbuat perubahan sama dengan menjadikannya sebagai contoh demi menjaga kualiti keseluruhan industri penyiaran,” katanya.

Berita Harian X