Jumaat, 29 November 2019 | 11:38pm
KOMPOSER dan penyanyi, Haqiem Rusli, akan turut bersaing pada AJL34 menerusi Lembah Kesepian.- NSTP/Mahzir Mat Isa

Sumpah, Lembah Kesepian antara 12 lagu layak ke AJL34

SHAH ALAM: Sebanyak 12 lagu diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 yang bakal berlangsung pada Februari tahun hadapan.

Lagu berkenaan ialah Lembah Kesepian ciptaan Haqiem Rusli dan lirik tulisan Haqiem bersama Ibnu & Gouffran yang dinyanyikan artis remaja itu sendiri, Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, / Drama Band), Sumpah (Naim Daniel, Omar K / Naim Daniel), Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz Suip) dan Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri).

Turut berentap pada anugerah berkenaan adalah karya hasil ciptaan Navigator, Bangun, nyanyian Aman RA, Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Faizal Tahir), Anta Permana (Hael Husaini, Ezra Kong / Datuk Seri Siti Nurhaliza), Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret) dan Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo).

Tidak ketinggalan memberikan saingan di pentas berkenaan nanti ialah Peneman karya ciptaan Tam yang didendangkan Hazama serta Sumpah, ciptaan dan nyanyian Aina Abdul.

Pengumuman berkenaan dilakukan pada saingan minggu ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.

Terdahulu, lagu Drama dan Sumpah (Naim Daniel) masing-masing diumumkan sebagai Lagu Terbaik pada minggu pertama dan kedua SFMM34.

Tiga puluh lagu hasil undian peminat menerusi carta Muzik Muzik 34 bersaing pada peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 15, 22 dan 29 November.

SFMM34 diadili oleh juri profesional terdiri daripada Faizal Uzir (Lok U), Datuk Syafinaz, Edrie Hashim, Aznul Haidi Azmi, Aubrey Suwito, Ajai dan Azmeer selaku ketua juri.

SFMM34 dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

Berita Harian X