Sabtu, 30 November 2019 | 6:15pm
SEBAHAGIAN penyanyi dan komposer yang layak ke Anugerah Juara Lagu 34. - NSTP/Faiz Anuar

Muzik Masdo kreatif, berbeza - Azmeer

KUALA LUMPUR: Ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34), Azmeer, menjelaskan pemilihan empat kumpulan ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) adalah berdasarkan kekuatan lagu masing-masing.

Drama Band bersama lagu Drama, Akim & The Majistret (Rampas), Hazama & The Penglipurlara (Peneman) dan Kugiran Masdo (Dinda) antara 12 lagu layak bersaing pada AJL34 yang akan berlangsung pada Februari tahun depan.

Azmeer turut memuji kreativiti Masdo yang menurutnya berupaya menyuntik kelainan dalam industri muzik tempatan.

“Walaupun saya mencipta lagu genre balada, ia tidak bermakna saya hanya tertakluk kepada muzik sedemikian. Saya terbuka untuk mendengar pelbagai jenis muzik, yang memberikan kepuasan berbeza.

“Membawakan muzik lama, Masdo kreatif menyuntik nafas baharu dalam melodi, sekali gus membezakan lagu mereka dengan pesaing lain. Selain berjaya menawan hati ramai peminat, mereka juga mampu menarik perhatian juri.

“Sebenarnya, empat band terpilih ke AJL34 tak harus menjadi persoalan. Bagi saya, mana-mana lagu yang baik patut dipilih. Juri pula berasakan empat band ini memang layak ke pentas akhir atas dasar persembahan, lagu, lirik dan nyanyian,” katanya.


PERSEMBAHAN Kugiran Masdo pada minggu ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Lapan lagi karya yang bakal merebut trofi Juara Lagu AJL34 ialah Sumpah dendangan Naim Daniel, Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip), Ku Bersuara (Ernie Zakri), Sumpah (Aina Abdul), Anta Permana (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Ragaman (Faizal Tahir), Lembah Kesepian (Haqiem Rusli) dan Bangun (Aman RA).

Menyifatkan 12 karya yang layak ke AJL34 bakal menyaksikan sebuah ‘power final’ atau saingan hebat, Azmeer berpendapat, seseorang penyanyi memainkan peranan penting dalam mempersembahkan lagu popular mereka.

“Ada lagu yang sangat kuat, namun tidak disampaikan dengan baik. Mungkin kerana penyanyi terlalu beremosi ketika membuat persembahan. Malah, ada juga yang tidak matang dari aspek ‘pitching’. Lebih mengejutkan apabila mereka sudah biasa menjejakkan kaki ke SFMM.

“Kriteria ini diambil kira kerana penyanyi menjadi faktor penting untuk membawakan lagu. Saya bersimpati pada sebahagian komposer kerana lagu mereka terpaksa dipotong markah berdasarkan beberapa faktor. Penyanyi itu sendiri yang membawakan melodi, bukan pemain gitar atau pemuzik,” kata Azmeer.

Selain dirinya, lagu yang bersaing pada SFMM34 turut diadili oleh Faizal Uzir (Lok U), Datuk Syafinaz Selamat, Edrie Hashim, Aznul Haidi Azmi, Aubrey Suwito dan Ajai.

Berita Harian X