Khamis, 26 Disember 2019 | 10:19pm
Barisan pelakon alih suara dan tenaga produksi filem Ejen Ali. Dari kiri, pelakon Ida Rahayu Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif PT Spectrum Film, Rajesh K Jagtiani; Usamah; Ahmad Izham; Produser Mohd Faiz Hanafiah dan pelakon Azman Zulkiply. Foto NSTP

Ejen Ali tawan 100 pawagam di Indonesia

JAKARTA: Selepas berjaya mencatat kutipan RM28 juta dalam tempoh tiga minggu tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem Ejen Ali The Movie kini mengorak langkah apabila melebarkan sayap ke Indonesia.

Bakal ditayangkan di 100 pawagam di seluruh Indonesia bermula 1 Januari ini, filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu diharap mampu mencipta fenomena luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya teruja apabila Ejen Ali The Movie menjadi filem animasi pertama terbitan Primeworks Studios yang berjaya menembusi pasaran filem animasi Indonesia.

“Permulaan yang baik buat kami untuk 2020. Ia seperti mendapat hadiah tahun baharu apabila filem ini dapat diperluaskan di pasaran serantau dengan menjadi filem animasi pertama terbitan Primeworks Studios yang berjaya menembusi pasaran filem animasi Indonesia.

“Kami berharap gelombang fenomena Ejen Ali akan berterusan hingga ke Indonesia kerana filem yang dihasilkan Usamah dan ahli ‘Wauriors’ ini mempunyai nilai sinematik yang sangat tinggi selain terbukti berjaya menambat hati ramai penonton.

“Kami juga ingin kongsi perasaan bangga itu kepada peminat serta pencinta filem di Indonesia. Ini kerana kami menerima pelbagai maklum balas daripada peminat di Indonesia. Rata-rata bertanya mengenai tarikh tayangan filem ini di pawagam negara mereka,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Ejen Ali The Movie di CGV, Grand Indonesia di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, pihaknya berharap filem ini akan mendapat sokongan padu peminat Ejen Ali di Indonesia.

“Terima kasih semua pihak yang tidak pernah putus asa menyokong Ejen Ali. Kami sedaya-upaya memenuhi permintaan peminat Ejen Ali di Indonesia supaya filem ini ditayangkan.

“Bersempena dengan musim cuti persekolahan ini, kami ingin menjemput semua ‘Ejen’ di Indonesia untuk membanjiri pawagam tempatan dan merealisasikan ‘misi pecah panggung’ Ejen Ali di Indonesia sebagaimana kejayaan yang dilakar di Malaysia,” katanya.

Ejen Ali The Movie berkisar mengenai Ali, 12, direkrut menjadi perisik di Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS-Infinity Retinal Intelligence System).

Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Berita Harian X