Isnin, 6 Januari 2020 | 1:48pm
AWKWAFINA mencatat sejarah sebagai pelakon berdarah Asia pertama memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik - Muzikal/Komedi. - Foto AFP

Awkwafina cipta sejarah Golden Globe 2020

LOS ANGELES: Aktres Awkwafina mencipta sejarah sebagai pelakon berdarah Asia pertama yang memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik - Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe 2020 di sini, hari ini.

Memikat juri melalui lakonannya sebagai Billi dalam filem The Farewell, Awkwafina menewaskan nama besar lain iaitu Cate Blanchett, Emma Thompson, Beanie Feldstein dan Ana de Armas.

Awkwafina atau nama sebenarnya, Nora Lum yang dilahirkan di New York, Amerika Syarikat (AS), gugup dan terkejut dengan kemenangan itu.

“Saya mahu dedikasikan kemenangan ini kepada bapa, Wally.... Saya sudah ada kerja. Untuk nenek yang juga kawan baik, dialah yang membesarkan saya,” katanya yang mencipta populariti melalui filem Crazy Rich Asians yang turut menampilkan bintang kelahiran Malaysia iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dan HenryGolding.

Awkwafina yang bermula sebagai penyanyi rap menjadi wanita berdarah Asia keenam yang dicalonkan pada Anugerah Golden Globe selepas Machiko Kyo, Miyoshi Umeki, Yvonne Elliman, Haille Steinfeld dan Constance Wu.

BRAD Pitt memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem). - Foto AFP

Sementara itu, pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) menerusi Once Upon A Time In Hollywood arahan Quentin Tarantino.

Pitt menewaskan nama Tom Hanks, Al Pacino, Joe Pesci dan Anthony Hopkins.

Dalam ucapan kemenangannya, Pitt berterima kasih kepada teman baiknya, Leonardo DiCaprio.

"Saya menyaksikan kejayaan filem The Revenant sebelum ini. Lelaki ini (merujuk kepada Dicaprio) luar biasa. Saya berterima kasih kepadanya kerana saya tak akan mampu berada di sini tanpa dirinya," katanya.

BARISAN pelakon Once Upon A Time...In Hollywood yang meraih trofi Filem Terbaik - Muzikal/Komedi. - Foto Reuters

Once Upon A Time In Hollywood arahan Tarantino juga memenangi kategori, Filem Terbaik - Muzikal/Komedi dan Lakon Layar Terbaik.

Dicaprio yang bertanding untuk filem sama dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Terbaik - Muzikal/Komedi bagaimanapun tewas di tangan Taron Egerton yang beraksi dalam naskhah biopik Rocketman.

JOAQUIN Phoenix memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik - Drama. - Foto AFP

Filem Joker yang disebut-sebut mampu merebut anugerah utama tidak pulang dengan tangan kosong. Watak supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City yang dilakonkan aktor Joaquin Phoenix, berjaya menobatkannya sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik.

Filem arahan Todd Philips itu menang kategori Skor Muzik Terbaik.

SAM Mendes (tengah) diangkat sebagai Pengarah Terbaik (Filem) menerusi garapannya dalam 1917 yang turut diiktiraf sebagai Filem Terbaik - Drama. - Foto Reuters

Filem 1917 arahan Sam Mendes juga menang besar apabila menang Filem Terbaik - Drama dan Pengarah Terbaik.

Acara penganugerahan kali ke-77 yang dihoskan Ricky Gervais itu berlangsung di Beverly Hilton di Beverly Hills, turut menyaksikan Tom Hanks dan Ellen Degeneres meraih pengiktirafan dalam kategori khas.

Berita Harian X