Rabu, 12 Februari 2020 | 10:43pm

Sajat sedia bertemu JAKIM

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat sedia bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelesaikan isu identiti dirinya melalui saluran rasmi, selepas kontroversi yang tercetus ketika mengerjakan umrah.

Sajat berkata, beliau mahu diberi panduan yang jelas dan terperinci bagi menyelesaikan isu identiti dirinya, kali ini.

“Bukan saya tak mahu buat laporan perubatan, sekarang mereka (JAKIM) hanya suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.

“Kalau betul mereka (JAKIM) nak bantu, mereka sepatutnya keluarkan surat rasmi. Saya tak tahu dengan siapa yang saya perlu rujuk. Kalau hendak tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, tindakan Sajat memakai telekung ketika mengerjakan ibadat umrah dan berkongsi paparan menerusi media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kontroversi itu menarik perhatian pelbagai pihak termasuk mufti malah mencetuskan kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.

Sajat mendakwa, dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identiti dirinya kepada pihak berkuasa, namun, alasan diberi kesnya itu berprofil tinggi.

“Saya pernah kena tipu, bukan saya tak cari jalan penyelesaian. Kalau diikutkan, ibu bapa sudah memberi kerjasama sebaik mungkin sejak saya dilahirkan.

“Namun, sekarang, saya yang perlu menanggung semua ini sendirian,” katanya.

Sajat berharap isu identitinya diselesaikan sekarang selagi ibu bapanya masih hidup.

“Ibu bapa Sajat boleh mengesahkan siapa saya... Tiada orang lain,” katanya.

Mengenai dakwaan beliau ditahan ketika berada di Tanah Suci, Sajat berkata, ibadat umrahnya lancar dan dia tidak didatangi pihak berkuasa termasuk polis sepanjang tercetusnya kontroversi itu.

“Di sana, saya sangat tenang menunaikan umrah bersama ibu, ayah dan anak-anak angkat. Malah, kehadiran saya disambut baik dan semua urusan ibadat dipermudahkan.

“Saya berniat untuk menunaikan umrah setiap tahun selain ingin membawa stokis dan kakitangan pada masa depan,” katanya.

Namun, Sajat kesal tindakan segelintir individu yang didakwa merakam foto dua anak angkatnya tanpa kebenaran lalu dimuat naik di laman sosial.

Sajat sedia bekerjasama dengan JAKIM bagi menyelesaikan isu identiti dirinya. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Sajat sedia bekerjasama dengan JAKIM bagi menyelesaikan isu identiti dirinya. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X