Isnin, 9 March 2020 | 7:30pm
Norman berharap Saifuddin dapat memperkasakan industri kreatif agar menjana lebih banyak pendapatan kepada negara. Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad
Norman berharap Saifuddin dapat memperkasakan industri kreatif agar menjana lebih banyak pendapatan kepada negara. Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

Karyawan seni sambut baik perlantikan Saifuddin

KUALA LUMPUR: Karyawan dan penggiat seni menyambut baik perlantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang diharap mampu menyelesaikan isu lapuk industri kreatif seperti hak cipta dan cetak rompak.

Selain itu, persatuan seni termasuk organisasi yang mewakili kumpulan penerbit berharap langkah memperkasakan industri kreatif tempatan dapat diteruskan di bawah pentadbiran baharu.

Pengarah Urusan KRU Studios Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim, berkata, perlantikan Saifuddin dianggap suatu pemilihan tepat berdasarkan latar belakangnya.

“Saya percaya beliau faham aspirasi warga kreatif dan mampu menggalas tugas yang diberi dengan baik.

“Selain itu, saya berharap beliau dapat memberi keutamaan kepada industri kreatif iaitu bagaimana hendak menjana pendapat daripada kandungan digital berpandukan teras Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya kepada BH Online.

Norman berkata, bagi menjadikan Malaysia negara maju, keutamaan perlu diberi kepada platform digital.

“Saya juga berharap masalah hak cipta dan cetak rompak dapat diselesaikan di bawah pentadbiran menteri baharu dan semua agensi di bawah kementerian dapat bekerja mencapai visi dan misi industri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, perlantikan Saifuddin dianggap tepat.

“Bukan beliau sahaja, jemaah Kabinet yang dipilih semuanya individu berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Saya berharap, Saifuddin dapat membantu membangunkan industri hiburan. Sejak dahulu, kami amat memerlukan bantuan kerajaan untuk memberi sokongan terutama kepada artis veteran yang sudah tidak bekerja.

“Yayasan sangat berharap kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka yang sudah banyak berjasa dalam dunia seni,” katanya.

Berita Harian X