Khamis, 25 Jun 2020 | 1:00pm
Saman itu adalah berhubung kenyataan Amyza didakwa menggunakan kata-kata kesat, memfitnah dan memalukan Zarina Anjoulie

Saman fitnah terhadap Amyza: Permohonan Zarina Anjoulie didengar 10 Julai

KUALA LUMPUR: Permohonan pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, supaya Mahkamah Tinggi di sini memasukkan penghakiman terhadap rakan seperjuangan, Amyza Aznan, yang hingga kini gagal menjawab saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta, akan didengar pada 10 Julai depan.

Saman itu adalah berhubung kenyataan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, yang didakwa menggunakan kata-kata kesat, memfitnah dan memalukan Zarina Anjoulie, apabila beliau (Zarina Anjoulie) menyelar perbuatan artis tempatan memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan berikutan wabak COVID-19.

Hakim Datuk Azimah Omar menetapkan tarikh itu ketika prosiding kes saman berkenaan yang turut dihadiri peguam Nurul Hafidzah Hassan mewakili Zarina Anjoulie, hari ini.

Azimah turut mengarahkan surat pemberitahuan dihantar kepada defendan, iaitu Amyza, untuk memaklumkan tarikh baharu pendengaran permohonan itu. Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan terbabit.

Peguam mewakili Zarina Anjoulie, Nurul Hafidzah Hassan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Peguam mewakili Zarina Anjoulie, Nurul Hafidzah Hassan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Terdahulu, Nurul Hafidzah memberitahu mahkamah bahawa kes itu telah tersebar dalam media massa dan defendan sepatutnya mengambil maklum berhubung prosiding hari ini.

Peguam itu berkata, Amyza juga belum memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu sejak ia difailkan pada 23 April lalu.

Beliau berkata, saman itu diberikan kepada defendan melalui serahan tangan serta pos berdaftar pada 24 dan 28 April lalu.

Dalam saman itu, Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif, mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM8,000 ke bawah sebulan, sebahagian daripada golongan artis tempatan menyuarakan pendapat dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberi satu 'bantuan khusus' untuk mereka atau penggiat seni negara.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina Anjoulie yang juga seorang usahawan mendakwa, beliau telah memuat naik video dalam laman sosial Instagram beliau pada 28 Mac lalu, yang secara umum menyatakan bahawa 'bantuan khusus' itu adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Beliau mendakwa, pada 29 Mac lalu, sebuah kumpulan dikenali sebagai 'BANTUAN COVID-SENI 2020' ditubuh menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram, bagi membincangkan bantuan COVID-19 kepada artis tempatan, dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurang 819 ahli terdiri daripada penggiat seni, termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan terbabit, Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu, selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam Instagram miliknya untuk paparan umum yang dimuat naik pada April lalu.

Beliau mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab serta sering menabur fitnah terhadap artis lain, dan akibat kenyataan itu, beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah dan permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu, plaintif menuntut defendan dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasi plaintif pada masa akan datang, kos serta relief lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Zarina Anjoulie (dua dari kanan). - Foto fail NSTP/Ghazali Kori
Zarina Anjoulie (dua dari kanan). - Foto fail NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X