Jumaat, 24 Julai 2020 | 7:06pm
Antara drama Primeworks Studios yang boleh ditonton menerusi iQIYI
Antara drama Primeworks Studios yang boleh ditonton menerusi iQIYI

6 siri drama Melayu terbaik TV3 kini boleh ditonton menerusi iQIYI

PRIMEWORKS Studios dan iQIYI hari ini, menandatangani perjanjian perkongsian kandungan yang akan menyaksikan enam siri drama Melayu terbaik TV3 disiarkan di platform penstriman berkenaan.

Perjanjian ini menekankan musim kedua siri drama hebat, '7 Hari Mencintaiku' yang kali pertama dapat disaksikan di iQIYI bermula 24 Julai 2020.

Setelah tayangan perdana siri itu di platform iQIYI, episod seterusnya boleh ditonton selepas satu jam tayangan di TV3 secara percuma.

Untuk kesinambungan dan kepuasan penonton, iQIYI juga akan menayangkan semua episod musim pertama '7 Hari Mencintaiku'.

Image

Perjanjian ini merangkumi drama TV3 yang lain seperti 'Leftenan Zana', 'Kampung People', 'Setelah Ku Dimiliki' dan sebuah siri baharu yang paling dinanti-nantikan iaitu 'Pengantin Satu Malam' yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos tahun ini.

Siri hebat ini boleh terus boleh ditonton secara eksklusif dan percuma di iQIYI satu jam selepas disiarkan di TV3.

"Kami sangat mengalu-alukan kerjasama dengan iQIYI kerana ini memberi peluang untuk mendalami perubahan trend terkini di platform penstriman.

"Ia juga membolehkan kami untuk memahami citarasa baru dalam kalangan pelbagai jenis penonton," Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar.

Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapore & Brunei, Dinesh Ratnam, berkata kerjasama ini sejajar dengan objektif dan strategi untuk menyediakan program terbaik, relevan serta berkualiti tinggi untuk penonton iQIYI di Malaysia.

"Kami sangat berbangga untuk mengumumkan kerjasama strategik dengan Media Prima menerusi Primeworks Studios," katanya.

Untuk makluman, '7 Hari Mencintaiku 2' telah mula ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada jam 7 malam.

Episod 1-16 akan dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020 dan kesemua episod berikutnya tersedia di platform www.iQ.com dan aplikasi iQIYI secara percuma selepas satu jam siaran.

Berita Harian X