Ahad, 16 Julai 2017 | 1:25pm
Pelakon, Alif Satar. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Isteri Alif tak cemburu gandingan dengan Lofa

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Alif Satar, memaklumkan isterinya, Shadila Halid, tidak cemburu apabila beliau bakal bergandingan dengan bintang sensasi, Neelofa, dalam drama terbaru berjudul Red Velvet.

Kata penyanyi, pelakon dan pengacara itu, suri hatinya bukan sekadar memberikan sokongan penuh terhadap kerjaya seninya, malah seorang yang sangat memahami dan cukup teruja dengan gandingan berkenaan.

Drama yang bakal diarahkan oleh Michael Ang itu dijadualkan menjalani penggambaran pada Ogos depan.

"Saya sendiri seorang yang bersikap profesional dalam kerjaya dan isteri sedia maklum mengenai perkara itu. Dia juga tak pernah cemburu kerana sememangnya isteri tahu skop kerja yang perlu saya lakukan.

"Isteri saya sendiri tidak sabar untuk melihat saya bergandingan dengan Neelofa menerusi drama ini. Malah selama ini, pun dia juga yang sering memberi cadangan dan idea kepada saya, dengan siapa saya patut bergandingan ketika berlakon," katanya.

Alif, yang sebelum ini popular dengan drama Dia Semanis Honey, berkata julung kali bergandingan dengan pelakon wanita berkenaan, beliau berusaha menunaikan amanah yang diletakkan ke bahunya dengan sebaik mungkin.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga tidak berasa bimbang walaupun mengetahui fenomena pernah dicipta Neelofa ketika bergandingan dengan Fattah Amin dalam drama, Suri Hati Mr Pilot, sebelum ini.

"Saya akan cuba menjalankan tanggungjawab yang diserahkan, termasuk mewarnakan karakter yang perlu dilakonkan dengan penuh semangat.

"Saya juga tidak gusar dengan hal yang pernah dilalui Neelofa sebelum ini, atau drama yang pernah dibintanginya. Saya dan Fattah orang yang berbeza. Saya janji akan buat sehabis baik.

"Soal sama ada drama ini akan mencipta fenomena atau tidak, ia bukan terletak di tangan saya. Kalau saya sudah melakukan sebaiknya, namun rezeki bukan menjadi milik drama berkenaan, apa lagi yang perlu dibuat?" katanya.

Sebelum itu, lakonan Alif boleh ditonton menerusi telefilem, Memori Pajeri Nenas, bergandingan dengan Tiz Zaqyah dan Siti Saleha.

Ia akan disiarkan menerusi Astro First Eksklusif mulai 20 Julai ini.

Berita Harian X