Ahad, 16 Julai 2017 | 4:30pm

Hanez tidak akan aktif berlakon


HANEZ Suraya bergambar bersama tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitrinya di Shah Alam. - Foto Rohanis Shukri

SHAH ALAM: Pelakon, Hanez Suraya, mengesahkan beliau tidak akan aktif lagi dalam lakonan bagi menghormati permintaan suami, Romie Razin Adilha Abdul Jais, 37.

Hanez, 32, yang sudah lebih sedekad berada dalam dunia hiburan berkata, suaminya mahu beliau memberikan tumpuan terhadap keluarga.

"Suami tidak mengizinkan saya berlakon dan mahu saya tumpukan perhatian pada keluarga, terutamanya anak yang masih kecil.

"Jujurnya, saya dan suami sedang berusaha untuk menambah zuriat memandangkan usia saya juga makin bertambah," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri mereka di sini.

Lebih 500 tetamu memeriahkan majlis julung kali dianjurkan pasangan terbabit, termasuk 100 anak yatim dan pelajar tahfiz.

Hanez juga tak menolak tanggapan suaminya cemburu dan kurang gemar apabila beliau tidak berada di rumah dalam tempoh masa yang lama.

Wanita yang mula mencuri tumpuan menerusi watak antagonis dalam drama Love You Mr Arrogant ini berkata, minat terhadap dunia seni bagaimanapun tidak pernah padam.

"Apapun, kalau ada watak atau penampilan istimewa yang hanya membabitkan babak tertentu, saya sedia mempertimbangkan," katanya.

Hanez pada masa sama bersyukur kerana rumah tangganya terus bahagia dan dipenuhi dengan kasih sayang.

Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie pada Mac 2015. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Aleesya, yang kini berusia setahun.

Berita Harian X