Isnin, 17 Julai 2017 | 4:31pm
JAA penyampai Radio Era FM dapat menemubual Shah rukh khan Ahad lalu di Mumbai.

Jaa ERA FM teruja jumpa 'King of Bollywood'

KUALA LUMPUR: Pengalaman berada di kediaman mewah Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan di Mannat, Mumbai, disusuli sesi temuramah eksklusif bersama aktor disegani itu, tidak akan dilupakan penyampai radio ERA FM, Jaa.

Jaa atau nama sebenarnya, Mohammad Faizal Ahmad, 23, meluangkan masa hampir sejam menemuramah Shah Rukh pada jam 1 pagi waktu tempatan, Ahad lalu.

"Ini bukan kenangan manis lagi, ini sudah boleh dikira sebagai tahap manis sakit diabetis, " katanya berseloroh ketika berkongsi pengalamannya bertemu hero Dilwale itu.

Memberitahu BH Online, Jaa mengaku tidak menyangka diberi peluang menemuramah Shah Rukh Khan sempena promosi filem terbaharunya, Jab Harry Met Sejal.

"Dapat berjumpa artis Bollywood yang diminati ramai memang tak disangka-sangka. Pasti ramai yang cemburukan saya. Sebelum menemubual Shah Rukh Khan, saya yang ditemani kakitangan Sony Music dijamu makan.

"Hampir sejam juga saya dapat menemubualnya untuk rakaman video. Namun, banyak soalan yang sudah dirancang awal tak dapat ditanya, " katanya.

Jaa berkata, Shah Rukh tampak letih ketika ditemuramah kerana baru pulang dari Jaipur.

"Biarpun tampak ketara pada muka dan reaksinya, namun dia tetap menjawab malah memberi ulasan panjang," katanya yang sudah tiga tahun bertugas di konti ERA FM.

Video yang dirakamkan dalam temuramah yang diatur Sony Music India dan Malaysia itu dijangka disiarkan di platform digital ERA FM, minggu ini.

Selain Shah Rukh Khan, bintang antarabangsa lain yang pernah ditemubual Jaa adalah Jackie Chan dan Ed Sheeran.

2447 dibaca
Berita Harian X