Rabu, 19 Julai 2017 | 4:18pm
PELAKON Nabila Huda. - Foto Surianie Mohd Hanif
BOY Iman selaku pelakon asal naskhah Blok 404 turut bertindak sebagai penerbit filem berkenaan.
Nabila Huda
SIDANG media pelancaran filem Blok 404 diadakan semalam di sebuah hotel di ibu kota.

Dendam Aurora keutamaan Nabila, bukan Blok 404

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda mengaku tidak mampu melakukan banyak kerja dalam satu masa, justeru terpaksa menolak undangan berlakon filem Blok 404.

Katanya, beliau ketika ini masih terikat dengan penggambaran drama 100 episod, Dendam Aurora, terbitan Global Station.

Nabila memberikan penjelasan berkenaan selepas namanya tercicir daripada filem yang diangkat daripada telefilem pernah mencetuskan fenomena kira-kira 16 tahun dulu ketika dipasarkan dalam bentuk VCD.

Nabila, antara pelakon asal Blok 404 selain Zamarul Hisham, Boy Iman dan Raja Azrey yang kekal terbabit dalam pembikinan filem bercorak seram itu.

"Saya terikat dengan watak utama untuk drama Dendam Aurora. Saya pula tak boleh melakukan banyak kerja dalam satu masa.

"Jadi, saya tidak menerima tawaran berlakon filem Blok 404 kerana enggan menyusahkan sesiapa.

"Saya tidak mampu hendak memuaskan hati ramai orang ketika ini. Saya juga perlu bersikap mementingkan diri. Saya harap, penjelasan ini dapat memberi pencerahan di sebalik hal berbangkit.

"Watak dan komitmen saya untuk Dendam Aurora meletihkan, sehingga saya diserang selsema dan demam. Saya memang tak mampu nak bekerja dengan berkejar-kejar ke beberapa lokasi berbeza, " katanya kepada BHonline hari ini.

Selain tiga pelakon asal berkenaan, versi filemnya turut membariskan Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian, Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah.

Sementara itu, Boy Iman yang turut bertindak sebagai penerbit Blok 404 mengakui kecewa dengan ketiadaan Nabila.

Katanya, biarpun berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan aktres terbabit, namun rezeki tidak menyebelahi mereka.

Berita Harian X