Isnin, 24 Julai 2017 | 12:01am
AKTOR Syafiq Kyle dan Fattah Amin. - Foto NSTP
AKTOR Syafiq Kyle dan Fattah Amin. - Foto NSTP

Syafiq Kyle, Fattah Amin bukan 'musuh tradisi'

PERNAH disifatkan sebagai 'musuh tradisi' dengan pertarungan demi pertarungan yang tiada kesudahan, persaingan dua aktor, Syafiq Kyle dan Fattah Amin seakan tampak semakin sengit.

Masing-masing kacak dan memiliki tarikan tersendiri, ada peminat mula membuat perbandingan antara Fattah dan Syafiq yang kebetulan sama-sama pernah bersaing di pentas Hero Remaja 2011/2012 sebelum menceburi dunia seni.

Ketika itu, Syafiq kecundang di tangan Fattah yang muncul juara. Manakala pemenang ketiga, Saharul Ridzwan, yang turut menceburi bidang lakonan, meraih tempat ketiga.

Syafiq mulai menjadi perhatian selepas membintangi drama Tanah Kubur, kira-kira lima tahun lalu dan sejak itu namanya menjadi sebutan sama ada peminat mahupun penerbit.

Dalam teruja menantikan drama terbaharu lakonannya, peminat mula membandingkan Syafiq dengan aktor popular dambaan ramai penerbit sekarang iaitu Fattah.

Mendekati Syafiq dan bertanyakan empunya diri mengenai perkara itu, anak jati Kuala Lumpur ini tidak pernah melihat kehadiran Fattah sebagai suatu ancaman buatnya meskipun mereka bersaing di pentas sama.

Ketika peminat masih hangat dengan fenomena Suri Hati Mr Pilot dan Hero Seorang Cinderella (HSC) lakonan Fattah, Syafiq tidak pernah merasa gusar. Bagi anak muda ini, dia lebih percaya kepada soal rezeki yang ditentukan Tuhan.

Bersandarkan drama terbaharu lakonannya, Mencintaimu Mr Photographer yang menggantikan HSC dalam slot Mega Drama di Astro Ria sekarang, Syafiq mahu terus berfikiran positif dalam merencana kerjaya seni.

"Saya tidak melihat isu tekanan apabila populariti drama HSC menjadi subjek utama.

"Sebaiknya, saya lebih melihat tekanan ketika bekerja di set penggambaran dan promosi awal drama Mencintaimu Mr Photographer di laman sosial.

"Apabila pelakon dan pihak produksi mula berkongsi gambar atau video di laman sosial sebelum drama disiarkan, pasti wujud jangkaan dan harapan penonton," katanya kepada BH Plus.

Dalam drama Mencintaimu Mr Photographer yang diadaptasi daripada novel berjudul sama, Syafiq digandingkan dengan pelakon baharu, Hannah Delisha. Naskhah itu diarahkan Eyra Rahman.

Bukan masa 'main-main'

Akui Syafiq, bukan soal saingan atau siapa lebih hebat, bagi dirinya, apa yang lebih penting adalah watak yang dijiwai dalam drama.

SYAFIQ mulai menjadi perhatian selepas membintangi drama Tanah Kubur, kira-kira lima tahun lalu. - Foto Aziah Azmee
SYAFIQ mulai menjadi perhatian selepas membintangi drama Tanah Kubur, kira-kira lima tahun lalu. - Foto Aziah Azmee

"Misalnya, ketika mengarah, Kak Eyra 'mengerah' kami untuk memberi yang terbaik sebelum produk ditayangkan.

"Sebagai pelakon, saya cuba mempamer dan meningkatkan mutu lakonan.

"Saya juga percaya setiap drama mempunyai tarikan berbeza. Saya harap tuah akan menyebelahi drama Mencintaimu Mr Photographer untuk diterima peminat," katanya.

Lima tahun mengabdikan diri di persada seni, Syafiq tidak mahu mempersiakan ruang dan kesempatan yang diberi.

Baginya, sekarang bukanlah masanya untuk bersikap sambil lewa sebaliknya dia perlu memastikan lakonannya memberi impak kepada penonton.

"Sebagai pelakon saya mahu mencari kepuasan dan bukan dengan mengejar populariti semata-mata.

"Sekarang bukanlah masa untuk 'main-main' atau bersikap tangkap muat dalam menerima tawaran. Tidak ada gunanya saya berlakon dalam banyak drama, tapi tak ada satu pun yang berkesan di hati penonton.

"Apa yang saya mahukan adalah lakonan itu diingati sampai bila-bila walaupun dengan satu drama saja," katanya yang berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan dengan menjual koleksi baju jenama Tuan X Syafiq Kyle hasil kerjasama dengan pereka fesyen, Tengku Kery.

SYAFIQ pernah bersaing di pentas Hero Remaja 2011/2012 sebelum menceburi dunia seni. - Foto Aziah Azmee
SYAFIQ pernah bersaing di pentas Hero Remaja 2011/2012 sebelum menceburi dunia seni. - Foto Aziah Azmee

Biodata

Nama: Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak

Nama Komersial: Syafiq Kyle

Tarikh lahir: 25 Jun 1992

Umur : 25 tahun

Asal: Cheras, Kuala Lumpur

Pendidikan: Diploma Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Drama Bersiri: Tanah Kubur, Kampung Girl, Kerana Terpaksa Aku Relakan , Bila Hati Berbicara, Dhia Sofea, Married Tapi Benci dan Suamiku Paling Sweet.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X